Luahan rasaku sebagai insan yang bergelar ayah…

- Advertisement -

ANAK merupakan anugerah Allah yang tidak ternilai buat pasangan suami dan isteri. Menjadi penyeri dalam melayari kehidupan berumahtangga. Kehadiran anak-anak ke dalam hidup setiap pasangan yang berkahwin sudah tentu sangat membahagiakan dan mengujakan.

Melihat telatah comel dan mimik muka yang manja, sudah pasti perasaan tersebut sangat mendamaikan dan amat sukar sekali untuk dibayangkan keseronokannya oleh setiap ibu bapa.

Kelahiran seorang anak itu merupakan satu anugerah kepada seseorang daripada Allah S.W.T. Anugerah yang begitu tinggi nilainya kepada hambaNya. Mengapa anak adalah anugerah? Kerana setiap anak yang lahir telah dijanjikan pemberian rezeki masing-masing daripada Allah S.W.T seperti firmanNya; 

- Advertisement -

“Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut kemiskinan. Kamilah yang akan memberi rezeki kepada mereka dan juga kepadamu. Sesungguhnya membunuh mereka adalah suatu dosa yang besar.” 

[al-Isra’: 31]

Walau bagaimanapun, kes yang terjadi baru-baru ini amat meruntun hati saya sebagai seorang ayah apabila melihat seorang anak kecil yang suci daripada dosa meninggal dunia akibat ‘didera’ berdasarkan laporan berita.

Sejujurnya, saya selaku seorang bapa berasa sangat terkesan dengan peristiwa menimpa adik Amir yang baru sahaja berusia tujuh tahun. Anak yang baru hendak mengenal dunia, anak yang baru sahaja ingin mendapat belaian kasih ibu dan ayah dan anak yang memerlukan perhatian daripada kedua-dua ibu bapa tetapi kini sudah tidak bernyawa.

Secara jujurnya, masih ramai lagi pasangan suami isteri yang sudah lama berkahwin tetapi masih belum diberi peluang memperoleh cahaya mata. Sesungguhnya, anak itu adalah anugerah Allah yang tidak boleh dipersiakan.

Siapa tahu, ketika kita selaku ibu bapa sudah menginjak ke usia senja, anak-anaklah yang bakal menjaga kita. Tangan yang kita pukul hari ini mungkin bakal menyuapkan makanan ke mulut kita. Kaki yang dirotan itu mungkin akan membawa kita bersiar-siar. Siapa tahu?

Oleh itu, sebagai seorang ayah, saya berharap agar kita semua dapat memberikan sepenuh tumpuan dan kasih sayang buat anak-anak. Jangan leka dengan gajet. Jangan terlalu asyik mencari wang ringgit sehingga lupa mencari cinta anak.

Anak-anak amat memerlukan pelukan kasih sayang daripada ibu bapa. Usah malu untuk mencium anak, usah malu untuk memeluk anak kerana suatu hari nanti pasti kita akan merindukan momen-momen indah itu. 

Semoga roh adik Amir ditempatkan bersama para Syuhada’ dan Solihin. Walaupun Pak Cik tidak mengenali dan tidak pernah bertemu dengan anakanda Amir, Pak Cik tetap berkongsi rasa kasih dan simpati terhadap anakanda Amir. Pak Cik doakan semoga keadilan berpihak buat dirimu wahai anak syurga.

USTAZ HAFEZ SABRI
Ketua Penerangan
PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 1/2/2021

- Advertisement -