Had jemaah di masjid elak penularan wabak

- Advertisement -

TUMPAT: Kerajaan menghadkan jemaah datang ke masjid untuk beribadat bagi menjaga maruah umat Islam dan kesucian agama supaya tidak tercela akibat perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan membuat keputusan itu kerana tidak mahu ada jangkitan Covid-19 berlaku di masjid atau surau.

- Advertisement -

“Jika berlaku jangkitan ketika beribadat di masjid atau surau ada pihak yang tidak bertanggungjawab akan menyebarkan sesuatu sehingga boleh memberi imej negatif.

“Kononnya kata mereka berlaku jangkitan Covid-19 di masjid atau surau apabila kita membenarkan jemaah hadir tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP),” ujarnya pada sidang media selepas menyerahkan bantuan Tabung Musaadah Covid-19 JAKIM-Yayasan Waqaf Malaysia (YWM), hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pihak tertentu yang tidak berpuas hati terhadap SOP ketat mengawal aktiviti dan ibadah di masjid serta surau ketika pandemik Covid-19 sekarang.

Pihak berkuasa agama di seluruh negara menghadkan bilangan jemaah yang hadir pada solat Jumaat dan solat fardu bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Malah pada peringkat awal wabak itu melanda negara pada Mac tahun lepas, dikesan kluster Tabligh, di mana ramai jemaah di Masjid Sri Petaling Kuala Lumpur dijangkiti Covid-19.

Ahmad Marzuk berkata, apa yang dibuat kerajaan sesuai dengan norma baharu bagi memastikan rantaian wabak tersebut dapat diputuskan. – HARAKAHDAILY 1/2/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!