Tutup kilang sembunyi pekerja positif Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Selangor akan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan tegas dan menutup kilang yang menyembunyikan kes positif di kalangan pekerja serta tidak memberikan kerjasama untuk aktiviti pengesanan kontak rapat (contact tracing).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan bagi mengelakkan tercetus kluster-kluster baru di kilang dan tempat kerja.

Menurutnya, beliau telah memanggil dan mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri bagi Kawalan Covid-19 Negeri Selangor malam tadi yang antara lain membincangkan mengenai peningkatan mendadak kes Covid-19 di negeri itu khususnya yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) petang semalam serta langkah-langkah bagi memutuskan rantaian wabak.

- Advertisement -

“Taklimat oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menjelaskan bahawa peningkatan kes ini disumbang oleh beberapa faktor utama,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menambah, antara faktornya ialah kes kumulatif (backlog cases) dari saringan pekerja kilang, saringan di penjara serta saringan di klinik dan hospital swasta yang tidak dilaporkan secara terus ataupun real time di mana backlog itu boleh dikesan dari kes yang berlaku 10 hari yang lalu.

Katanya, bagi mengatasi masalah itu pihak JKNS akan mengenakan kompaun kepada klinik atau hospital swasta yang tidak melaporkan kes positif secara terus pada hari yang sama melalui Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

Selain itu, ujarnya mesyuarat telah mengenal pasti kilang-kilang di seluruh negeri itu sebagai kawasan utama perebakan wabak.

Oleh itu, ujar beliau kerajaan negeri akan melaksanakan Program Preventing Outbreak at Ignition Site (POIS) iaitu program saringan di semua kilang dan tempat kerja yang berpotensi mencipta kluster dan perebakan.

“Ini bagi memutuskan rantaian serta mengelakkan kluster di tempat kerja,” jelasnya lagi.

Beliau berkata, POIS akan dilaksanakan dengan kerjasama JKNS, Selgate Corporation Sdn Bhd, semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Federation of Malaysian Manufacturers (FMM).

Menurutnya lagi, mesyuarat turut membincangkan cadangan untuk menambah pusat Covid Assessment Center (CAC) terutama di daerah Petaling, Hulu Langat dan Gombak.

Katanya, CAC berperanan untuk menganalisis pesakit Covid-19 bagi dikelaskan mengikut kategori tertentu sebelum dibawa ke pusat kuarantin ataupun hospital untuk rawatan lanjut.

Beliau menambah, JKNS turut memaklumkan bahawa Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS Serdang telah ditambah fasiliti dan mampu menampung tambahan 6,000 orang pesakit.

Jelasnya, fasiliti khas seperti khemah ICU dan peralatan perubatan turut telah disediakan.

“Saya menyeru semua rakyat untuk bersama-sama dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 ini dengan mengamalkan pematuhan SOP. Kekal konsisten memakai pelitup muka dan jaga penjarakan fizikal.

“Selangor tanggungjawab kita. Hanya dengan semangat kekitaan ini sahaja yang akan dapat memutuskan rantaian wabak ini,” ujarnya.

Semalam, Selangor mencatatkan kes terbanyak iaitu 3,126 kes, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (687 kes) dan Johor (684 kes) menjadikan negara merekodkan kes positif harian Covid-19 tertinggi sebanyak 5,725. – HARAKAHDAILY 30/1/2021

- Advertisement -