PADA 18 Januari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Bantuan Khas yang dikenali sebagai PERMAI iaitu pakej rangsangan ekonomi kelima oleh kerajaan selepas berlakunya pandemik Covid-19 dan yang pertama selepas Proklamasi Darurat, baru-baru ini.
Empat pakej rangsangan ekonomi diumumkan tahun lalu iaitu Pakej Prihatin, Pakej Prihatin PKS, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kita Prihatin membabitkan peruntukan sebanyak RM305 bilion.
Dalam Belanjawan 2021, sebanyak RM322.5 bilion diperuntukkan, manakala Pakej PERMAI pula membabitkan peruntukan sebanyak RM15 bilion menerusi 22 inisiatif.
Dalam erti kata lain, kerajaan telah dan akan membelanjakan sebanyak sekurang-kurangnya RM642.5 bilion.

Perbelanjaan ini adalah yang terbesar dalam sejarah negara yang melibatkan tempoh hanya 22 bulan (Mac 2020 hingga Disember 2021).
Persoalannya, adakah semua pakej rangsangan ini terutama yang terbaharu iaitu PERMAI mampu membantu kelangsungan hidup rakyat?
Dalam konteks 22 inisiatif PERMAI, sebahagiannya merupakan kesinambungan daripada empat pakej rangsangan sebelum ini dan sebahagian yang lain merupakan inisiatif baharu yang cuba memberikan nafas baharu kepada rakyat.
Antara inisiatif diteruskan termasuk Program Subsidi Upah (PSU 3.0) dengan peruntukan RM1 bilion untuk semua majikan tanpa mengira sektor dalam negeri terlibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberikan manfaat kepada 250 ribu majikan dan 2.6 juta pekerja.
Dalam tempoh sebulan, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah RM600 bagi setiap pekerja bergaji kurang daripada RM4,000 dan had 200 pekerja bagi setiap permohonan sebelum ini dinaikkan kepada 500 pekerja. Bagaimanapun, program ini hanya dilaksanakan sehingga April 2021.
Selain itu, bantuan moratorium dan pengurangan bayaran balik pinjaman akan terus disediakan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Inisiatif itu termasuk lanjutan moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman yang akan ditawarkan oleh institusi kewangan, namun tidak dilaksanakan secara automatik dan pemohon perlu menghubungi bank bagi permohonan tersebut.
Selain daripada pemberian sekaligus RM500 kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan, RM300 kepada petugas barisan hadapan lain, antara inisiatif berkaitan kesihatan lain adalah tambahan lebih 3,500 petugas kesihatan yang akan bertugas hujung Januari, dengan peruntukan tambahan RM150 juta.
Hospital swasta pula telah menyatakan persetujuan untuk merawat pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19 bagi meringankan tekanan sistem kesihatan awam dengan peruntukan RM100 juta.
Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan melaksanakan Program Bakul Makanan merangkumi barang makanan keperluan bernilai RM100 bagi setiap isi rumah yang layak dengan peruntukan sebanyak RM50 juta.
Seterusnya, kerajaan bersetuju memberikan bantuan one-off RM500 kepada pemandu pelancong, bas sekolah dan persiaran, teksi melibatkan 132,000 penerima dengan peruntukan tambahan sebanyak RM66 juta. Peruntukan tambahan juga diberikan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) melalui Geran Khas Prihatin PERMAI.
Bagaimanapun, persoalan yang timbul ialah sama ada rakyat Malaysia secara keseluruhannya boleh menarik nafas lega dengan semua inisiatif ini?
Melihat kepada 22 inisiatif yang digariskan hanya membantu sebahagian, namun tidak cukup untuk memberikan kelegaan kepada rakyat Malaysia secara keseluruhan.
Terdapat keperluan untuk kerajaan melihat semula keperluan semasa rakyat dan saya menggariskan empat langkah yang boleh diambil untuk menambahbaik Pakej PERMAI.
Pertama, Program Subsidi Upah (PSU 3.0) dilanjutkan sehingga September 2021 kerana ia tidak memadai untuk berakhir sekadar bulan April 2021 disebabkan oleh situasi semasa pergerakan ekonomi yang agak perlahan untuk suku pertama 2021 jika dibandingkan dengan suku tahun ketiga dan keempat 2020 disebabkan oleh PKP 2.0. Hal ini dijangka mampu memberikan kelegaan kepada majikan dan juga PKS untuk memulihkan perniagaan masing-masing.
Kedua, kerajaan disaran memberikan moratorium secara automatik kepada mereka yang berpendapatan isi rumah bawah RM10,000. Kesan ekonomi pada ketika ini tidak hanya memberikan impak kepada B40 sahaja, namun kesannya lebih meluas dan M40 juga terkena tempiasnya.
Oleh yang demikian, langkah memberikan moratorium automatik kepada B40 dan sebahagian M40 yang berpendapatan isi rumah bawah RM10,000 ini akan dapat membantu kedua-dua kategori untuk perbelanjaan pendidikan anak-anak yang menelan kos lebih tinggi ketika ini dengan pembelian peralatan pembelajaran seperti tablet, printer dan kertas.
Melalui pembelian tablet berkenaan, maka data 1GB percuma setiap hari yang dilanjutkan melalui PERMAI sehingga 30 April 2021 akan dapat digunakan untuk proses pembelajaran dan pengajaran.
Pemberian komputer riba kepada 150,000 murid di 500 buah sekolah rintis yang diumumkan semasa Belanjawan 2021 pula masih belum diagihkan walaupun sesi pembelajaran telah bermula pada 20 Januari 2021 yang lalu.
Tatkala, Ebit Liew menghadiahkan tablet kepada 100 pelajar yang memerlukan, dalam tempoh separuh hari beliau memaklumkan menerima 43,000 mesej/individu yang memerlukan tablet.
Perkara ini perlu dipandang serius oleh kerajaan dan cadangan ketiga saya adalah untuk kerajaan mempercepatkan urusan pemberian komputer riba sebagaimana yang diumumkan pada November 2020 lalu kepada begitu ramai rakyat Malaysia yang memerlukan komputer riba atau tablet bagi urusan pembelajaran anak masing-masing.
Akhirnya, terdapat keperluan mendesak untuk kerajaan memantau dan mengawal harga barang yang kebelakangan ini menunjukkan tanda-tanda berlakunya kenaikan harga terutamanya yang melibatkan barangan makanan dan keperluan harian.
Perkara ini benar-benar terjadi di lapangan dan sudah tentu menambah lagi beban dan keperitan yang perlu ditanggung oleh rakyat terutamanya B40 dan M40.
Kerajaan juga boleh memperkenalkan ordinan semasa darurat untuk memerangi sabotaj ekonomi, monopoli dan kenaikan harga barang sebagaimana yang terkandung dalam Proklamasi Darurat.
‘Condong yang akan menongkat, rebah yang akan menegakkan’, demikianlah harapan rakyat terhadap fungsi kerajaan sekarang untuk meneruskan survival. – HARAKAHDAILY 30/1/2021
Penulis ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!