Tidak larang cari rezeki, guna kaedah sesuai

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri menasihati belia yang menjaja makanan dan minuman di kawasan lampu trafik di bandar ini supaya menjaga keselamatan serta mengikut peraturan ditetapkan.

Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri tidak melarang mereka mencari rezeki, sebaliknya individu terbabit perlu mematuhi undang-undang.

Katanya, situasi yang berlaku itu merupakan satu perkembangan yang baik kerana anak-anak muda pandai mencari rezeki melepaskan diri daripada kesempitan kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Covid-19.

- Advertisement -

“Cuma kita hendak menasihatkan supaya belia terbabit mematuhi peraturan ditetapkan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya lain,” katanya di sini.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan golongan belia terbabit mencari kaedah lebih sesuai dengan perkembangan semasa dengan menjual secara atas talian.

Katanya, kaedah itu dianggap lebih baik ketika rakyat berhadapan dengan penularan Covid-19 dan PKP.

Belia yang menjaja minuman dan makanan di kawasan lampu isyarat ketika ditemui memberitahu mereka mencari rezeki bagi menampung keperluan keluarga.

Setiap hari mereka berulang-alik menjaja minuman dan makanan lebih 10 kilometer tanpa mengira panas dan hujan.

Wan Muhammad Syafiq Wan Yuzailee, 24, berkata, beliau menjaja mangga muda di kawasan lampu isyarat selepas pelaksanaan PKP bermula pada Mac tahun lalu.

Sebelum ini beliau berkerja di sebuah kedai hardware, namun mengambil keputusan berhenti kerana kekangan PKP.

“Jadi saya fikir lebih baik berhenti, kemudian mohon kerja sebagai penjaja. Saya buat kerja ini pun untuk bantu sara keluarga,” katanya ketika ditemui. – HARAKAHDAILY 29/1/2021

- Advertisement -