Kes kesalahan trafik tidak perlu ke mahkamah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Badan Kehakiman Malaysia mengambil inisiatif untuk melancarkan Sistem Pengakuan Salah Kes Trafik Secara Dalam Talian (Sistem e-PG) bagi mendigitalkan proses pengakuan bersalah dalam kes kesalahan trafik sekali gus mempercepatkan proses pelupusan kes tersebut.

Ini berdasarkan statistik di Mahkamah Majistret menunjukkan bahawa lebih daripada satu juta kes saman trafik yang didaftarkan adalah terdiri daripada kes trafik yang kebanyakannya berakhir dengan pengakuan bersalah dan hukuman denda.

“Sistem e-PG ini merupakan sebuah platform dalam sistem aplikasi mahkamah yang digunakan untuk membuat pengakuan salah melalui teknologi komunikasi jarak jauh yang juga alternatif kepada prosiding sedia ada yang menghendaki Orang Kena Saman (OKS) untuk hadir secara fizikal ke mahkamah,” ujar Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam satu kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Katanya, sekiranya OKS memilih untuk membuat pengakuan salah melalui Sistem e-PG, kehadiran OKS ke mahkamah adalah dikecualikan melainkan jika diarahkan oleh mahkamah sebaliknya.

Secara rintis, ujarnya Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor akan mengaplikasi sistem e-PG ini bagi semua kes trafik yang didaftarkan di Mahkamah Majistret 3 Shah Alam bermula pada 2 hingga 5 Februari.

Orang awam yang mempunyai kes yang didaftarkan di Mahkamah tersebut boleh melayari sistem e-PG di https://ecourt.kehakiman.gov.my bermula 2 Februari 2021 nanti.

Tambahnya, hasil daripada projek rintis itu, Badan Kehakiman Malaysia berharap akan dapat melancarkan sepenuhnya sistem e-PG di Mahkamah Majistret seluruh Semenanjung Malaysia bermula 1 April 2021 manakala bagi Mahkamah Majistret Sabah dan Sarawak bermula Jun 2021.

“Apabila sistem e-PG ini dilancarkan sepenuhnya, OKS di seluruh negara boleh membuat pengakuan salah bagi kesalahan-kesalahan yang tersenarai dari mana-mana tempat menggunakan peranti mudah alih mereka sendiri.

“Bagi memudahkan orang awam untuk memahami tatacara prosiding dan penggunaan sistem e-PG ini, bersama-sama ini dilampirkan Carta Alir Tatacara Pengendalian Prosiding Kes Saman Trafik Melalui Teknologi Komunikasi Jarak Jauh untuk panduan dan rujukan,” ujarnya.

“Sistem e-PG ini dapat mengurangkan keperluan penerima saman kesalahan trafik untuk hadir ke mahkamah, sekali gus dapat menjimatkan masa, wang ringgit dan menjaga keselamatan serta kesihatan,” katanya lagi.

Orang awam boleh melayari Portal rasmi Badan Kehakiman Malaysia di www.kehakiman.gov.my untuk sebarang maklumat lanjut. – HARAKAHDAILY 29/1/2021

- Advertisement -