JAKIM sempurnakan urusan jenazah kes COVID-19

- Advertisement -

SEMALAM jumlah kematian mangsa positif COVID-19 sudah mencecah angka 717. Angka ini menggambarkan betapa banyak air mata ahli keluarga yang tumpah kerana tidak boleh menatap wajah jenazah buat kali terakhir.

Di sebalik tangisan hiba waris yang hanya boleh melihat jenazah diuruskan daripada jauh, ramai yang tidak perasan perjuangan tanpa lelah pasukan pengurus jenazah COVID-19 yang ditubuhkan di bawah JAKIM dengan kerjasama agensi-agensi agama yang lain.

- Advertisement -

Mereka inilah yang mengambil tanggungjawab Fardhu Kifayah menguruskan mayat pesakit COVID-19 beragama Islam. Bukan senang mahu menguruskan jenazah yang dijangkiti COVID-19. 

Perlu kuat semangat untuk menguruskannya dalam keadaan serba kepanasan di dalam sut PPE. Banyak proses yang perlu dilalui bersama sut PPE itu sebelum jenazah selamat dikebumikan. 

Selepas jenazah dibalut dengan kain kafan linen putih, petugas ini juga perlu membalut dua lagi lapisan menggunakan pembalut plastik. Pada lapisan ketiga pembalut plastik ini, semburan nyah kuman akan dilakukan. 

Seterusnya, jenazah akan diuruskan menggunakan prosedur tayammum dan ia mesti dilakukan hanya di atas permukaan beg mayat tersebut. Setelah semuanya selesai, solat jenazah boleh diadakan di ruang khas yang disediakan oleh pihak hospital. Solat jenazah hanya boleh didirikan oleh 2 orang petugas dengan menjaga penjarakan fizikal. 

Pengebumian jenazah pula hanya boleh dihadiri oleh empat orang (termasuk waris) yang berpakaian lengkap dengan PPE. Terima kasih kepada jiwa besar mereka yang sanggup mengambil tanggungjawab walaupun dengan risiko jangkitan. 

Sama-samalah kita menghargai pengorbanan mereka yang jarang-jarang dikedepankan. Semoga Allah melindungi dan mengurniakan ketabahan kepada pasukan ini dalam mengharungi ujian pandemik COVID-19 yang kian meruncing. Ameen ya rabbal ‘alamin

YB AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 29/1/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -