RM200,000 disumbang bantu kaum India di Kedah

ALOR SETAR: Sehingga sekarang peruntukan lebih RM200,000 disumbang kerajaan negeri bagi memastikan kebajikan masyarakat India di Kedah terbela.

Pegawai Khas Menteri Besar (Hal Ehwal Kaum India), K Kumaresan berkata, ketika perayaan Deepavali tahun lepas sebanyak RM100,000 disumbang kepada kaum India dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan harian.

Katanya, sebanyak RM7,000 lagi disumbang kepada rumah ibadat kaum India di Lunas.

Advertisement

“Selain itu bantuan membaiki pasarana di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil, Langkawi sebanyak RM5,000.

“Itu antara contoh yang menggambarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) Kedah tidak pernah mengabaikan kebajikan masyarakat India di negeri terbabit,” katanya di sini.

Baru-baru ini kerajaan PN Kedah menjadi sasaran pihak tertentu termasuk MIC apabila tidak memberi cuti peristiwa pada sambutan Thaipusam hari ini.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor sebelum ini menjelaskan cuti peristiwa tidak diberi tahun ini mengambil kira penularan pandemik Covid yang begitu menggusarkan.

Bagaimanpun keputusan dibuat kerajaan Kedah itu dikritik pihak tertentu termasuk pemimpin MIC dan DAP yang menganggap kerajaan negeri tidak membela nasib kaum India.

Kumaresan berkata, biarpun cuti peristiwa pernah diberi kerajaan negeri ini sebelum ini, namun ketika itu tidak berlaku wabak sehingga meragut nyawa seperti sekarang.

“Pihak terbabit sepatutnya memahami apa yang berlaku sekarang dan bukan menghentam kerajaan negeri tanpa mengambil kira situasi sebenar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/1/2021