Perniagaan yang dibenar dilanjut hingga 10 malam

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Waktu operasi semua sektor perniagaan yang dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 10 malam bermula esok, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Beliau berkata antaranya ialah kedai runcit, kedai serbaneka, farmasi, kedai keperluan harian, kedai makanan haiwan, kedai dobi dan kedai cermin mata yang diumumkan sebelum ini.

- Advertisement -

“Sebelum ini, semua sektor (terbabit) dibenarkan beroperasi sehingga 8 malam. Setelah Kementerian Kesihatan membuat penilaian risiko, sidang Majlis Keselamatan Negara bersetuju tempoh perniagaan restoran dan kedai lain dilanjutkan sehingga 10 malam.

“Kita tahu banyak kekeliruan yang menyukarkan dari segi penguatkuasaan kerana waktu operasi yang berbeza-beza dan permohonan daripada sektor perniagaan terlibat untuk melanjutkan tempoh operasi perniagaan mereka,” katanya pada sidang media perkembangan PKP di Wisma Pertahanan hari ini.

Ismail Sabri juga berkata sektor perhutanan dan kayuan serta rantaian yang melibatkan pembalakan dan lain-lain beroperasi seperti biasa bermula esok.

Beliau berkata kerajaan juga sedang menggubal Ordinan Darurat bagi meningkatkan jumlah kompaun terhadap individu dan syarikat yang didapati ingkar prosedur operasi standard (SOP) semasa PKP.

Ismail Sabri turut menyeru orang ramai agar meningkatkan disiplin diri dalam mematuhi arahan ditetapkan dan tidak menunggu sehingga pihak berkuasa mengambil tindakan.

Mengulas mengenai pematuhan SOP, katanya Polis Diraja Malaysia menahan 494 individu yang menyaksikan sejumlah 464 orang dikompaun, 29 direman dan seorang diikat jamin. – BERNAMA

- Advertisement -