Pengguna terjejas dapat bekalan air malam ini

- Advertisement -

MACHANG: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bekerja keras bagi mengatasi masalah bekalan air ekoran kebocoran paip air mentah 1100 mm di Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong.

Kebocoran itu berlaku pada 20 Januari lalu sehingga menjejaskan pengguna di beberapa jajahan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur dan Utiliti Kelantan, Ustaz Abdul Rahman Yunus berkata, saluran paip yang bocor dibaiki melalui kaedah wripping (membalut) dan tidak boleh dilepaskan air mengikut kapasiti biasa.

- Advertisement -

“Ia bagi mengelakkan saluran berkenaan rosak berikutan tempoh wripping tidak sampai 24 jam.

“Pada jam 10 malam ini AKSB akan melepaskan semula air di LRA Merbau Chondong. Bagaimanapun untuk sampai kepada pengguna agak mengambil masa, mungkin lebih sehari bagi tempat yang jauh dari LRA.

“Pada masa yang sama air yang bakal dilepaskan pada kadar kelajuan biasa bagi mengelak kebocoran berlaku pada paip yang dibaik pulih,” ujarnya ketika ditemui di tapak pembaikian paip Glass Reinforced Concrete (GRC) di Pulai Chondong semalam.

Media baru-baru melaporkan 32,000 pemegang akaun AKSB di Machang, Pasir Puteh dan Kota Bharu mengalami gangguan bekalan air ekoran kebocoran paip di LRA di Merbau Chondong.

Bagaimanapun bagi mengatasi masalah tersebut AKSB menyediakan lori tangki dihantar kepada penduduk yang terjejas di kawasan terbabit.

Abdul Rahman yang juga Adun Pasir Tumboh berkata, sekiranya kaedah tersebut tidak berjaya, paip sepanjang 500 meter tersebut akan ditukar baru dengan kos kira-kira RM1.6 juta. – HARAKAHDAILY 28/1/2021

- Advertisement -