PAS Pmtg Pauh jengah hidup warga MOSWAY

- Advertisement -

PERMATANG PAUH: Jentera Pilihan Raya Parlimen (JPRP) Permatang Pauh telah mengadakan program ziarah menyantuni warga asnaf di sekitar DUN Permatang Pasir dan DUN Penanti, di sini baru-baru ini.

Kunjungan ini atas keprihatinan terhadap kesusahan dan kesempitan warga penduduk berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0, di mana keperluan asas turut disumbangkan.

- Advertisement -

Menurut Ketua JPRP Permatang Pauh, Mokhtar Muhamad, sumbangan kebajikan diberikan kepada warga miskin, Orang Kelainan Upaya (OKU), sakit, warga emas, armalah dan anak yatim atau dikenali ringkas MOSWAY.

Menurut beliau, kunjungan tersebut bertujuan mengemaskini dan melihat sendiri keadaan hidup warga asnaf berkenaan di samping sumbangan diberi diharap dapat meringankan beban mereka pada waktu yang sukar ini.

Di DUN Permatang Pasir, antara Unit Daerah Mengundi (UDM) yang dikunjungi ialah Permatang Tengah, Bukit Indera Muda, Kampung Pelet, Kubang Semang, Sungai Semambu, Permatang Ara, Tanah Liat dan Cross Street.

Manakala di DUN Penanti, ziarah melibatkan UDM Mengkuang, Guar Perahu, Kuala Mengkuang, Teluk Wang dan Kubang Ulu dengan ziarah diketuai oleh Yang Dipertua dan Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Permatang Pauh, Omar Hasan dan Ir Ahmad Rafaei Abd Rashid.

Mokhtar juga merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Bukit Mertajam yang telah memberi kelulusan dan sokongan kepada perlaksanaan program ini demi menyantuni warga MOSWAY.

Antara pimpinan PAS Permatang Pauh yang turut sama ialah Timbalan Yang Dipertua, Amir Hamzah Abdul Hashim dan Setiausaha, Mansor Che Dan serta Ketua Pemuda, Ustaz Muhammad Fawwaz Md Jan. – HARAKAHDAILY 28/1/2021

- Advertisement -