OKU perlu bantuan segera – LKKPN9

- Advertisement -

REMBAU: BAK kata pepatah, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Penderitaan yang dilalui sebuah keluarga di Rembau amat memilukan.

- Advertisement -

Terpanggil dengan kisah penderitaan itu, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Sembilan (LKKPN9) tampil menziarahi pesakit Orang Kelainan Upaya (OKU) ini baru-baru ini.

Azizul Ismail, 46 tahun, mengalami masalah kencing manis dan sakit buah pinggang sejak enam tahun lalu.

Azizul menjalani dialisis dengan menggunakan tapak dialisisnya di sebelah dada kanan selama 1 tahun 4 bulan.

Akibat dari penyakit masalah kencing manisnya, beliau menjadi hilang penglihatan sejak lapan tahun lalu. Di samping tu tangan di sebelah kirinya juga sudah tidak berfungsi lagi.

Beliau telah disarankan oleh doktor untuk menjalankan pembedahan urat tangan sebelah kanannya.

Kos pembedahan ini berjumlah lebih kurang RM4,500. Sekiranya pembedahannya tidak berjaya, doktor akan menggantikan urat palsu yang berjumlah RM15,000.

Disebabkan masalah kesihatan yang dihadapi, kini beliau sudah tidak bekerja lagi dan hanya mengharapkan bantuan kewangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM ).

Azizul mempunyai lima orang anak yang masih sekolah, dan bantuan persekolahan diperolehi Baitulmal serta Perkeso.

Beliau menumpang duduk dirumah neneknya hampir 7 tahun di Kg Perigi Jernih. Anak sulungnya masih mencari pekerjaan setelah tamat persekolahannya.

“Kita merayu dana orang ramai bagi menjayakan pembedahan saudara Azizul. Kami harap sumbangan ini dapat meringankan bebanan saudara Azizul ,” kata Pengerusi LKKPN9, Ishak Omar kepada wakil Harakah.

Dalam pada itu, Ishak memaklumkan sumbangan boleh dimasukkan ke akaun Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Negeri Sembilan di nombor akaun Bank Islam (05030010109346) atau menghubungi Ishak Omar di talian +6012-349 4041 atau Puan Suraya Shamsudin +6012-633 9605. – HARAKAHDAILY 28/1/2021

- Advertisement -