Kerjasama tangani isu gelandangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan atas dasar prihatin terhadap isu gelandangan, tampil membawa isu tersebut dalam mesyuarat bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Alam Lestari Malaysia di Pusat Komuniti Sentul Perdana, semalam.

Perkara tersebut dibawa ke sesi perbincangan bersama Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Pengurus DBKL Cawangan Batu, Kamarol Hisham Talib dan Presiden Persatuan Alam Lestari Malaysia, Rasydan Abd Rashid bagi membincangkan usaha-usaha yang boleh dilaksanakan untuk memperbaiki taraf hidup golongan gelandangan.

- Advertisement -

Menurut Nuridah, pertemuan tersebut merupakan lanjutan dari usaha DBKL yang telah menempatkan lebih 100 orang gelandangan di sekitar Kuala Lumpur ke Pusat Komuniti Sentul Perdana sebelum ini yang diusahakan bagi membendung penularan wabak Covid-19 selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

Katanya, tindakan susulan sedemikian dari semua pihak terbabit mesti dilakukan agar gelandangan ini mampu bangkit membina sebuah kehidupan yang jauh lebih baik di masa akan datang.

“Jika anjing yang mati pada zaman pemerintahan Saidina Umar pun akan disoal oleh Allah SWT atas pentadbirannya, apatah lagi tanggungjawab kita terhadap manusia.

“Mereka mesti dibantu agar timbul kesedaran untuk bangun memajukan diri,” tegas beliau dalam pertemuan tersebut.

Perbincangan itu juga telah berjaya merangka satu Projek Pembangunan Pertanian Bandar yang melibatkan golongan gelandangan dan diharapkan inisiatif ini dapat membantu meningkatkan taraf hidup mereka. –

Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP 2.0 DBKL bersama beberapa agensi berkaitan mengusahakan operasi menyelamat golongan gelandangan untuk ditempatkan di Pusat Sementara Gelandangan (PSG).

Mengambil kesempatan itu, DBKL bersama agensi terlibat berusaha menyediakan platform untuk para gelandangan mengasah bakat baharu demi kelangsungan hidup mereka akan datang. – HARAKAHDAILY 29/1/2021

- Advertisement -