Isteri wakil rakyat simpati beban ‘frontliners’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Bebanan yang dipikul petugas barisan hadapan dan pesakit Covid-19 turut mendapat simpati Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Kelantan Darulnaim (Purnama).

NGO terbabit mengedarkan sebanyak 250 bungkusan kuih-muih kepada frontliners dan individu positif Covid-19 yang ditempatkan di tiga lokasi.

Sumbangan berkenaan disampaikan Pengerusi Purnama Datin Siti Zabedah Abdul Hamid kepada Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Dr Azman Yakob, semalam.

- Advertisement -

Siti Zabedah berkata, sumbangan berkenaan diberikan kepada petugas dan pesakit di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik).

“Dua lagi iaitu Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Kelantan dan Dewan Jubli Perak MPKB BRI. Sumbangan ini sebagai tanda ingatan kepada mereka.

“Covid-19 yang menyerang negara dan negeri kita hampir setahun, keadaan itu belum menampakkan penurunan lagi,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Turut hadir Anggota exco kerajaan negeri, Dato Meja B Md Anizam Abdul Rahman; Adun Guchil, Hilmi Abdullah; Timbalan Pengerusi Purnama, Datin Hasmani Husin; Setiausaha Purnama, Datin Nor Asikin Ahmad dan ahli jawatankuasa Purnama Datin Salehah Yaakob.

Siti Zabedah yang juga isteri Menteri Besar berharap semua anggota masyarakat sentiasa berhati-hati ketika keluar rumah bagi menyelesaikan urusan yang dianggap mustahak.

“Kalau boleh elakkan keluar rumah jika tiada keperluan yang penting. Manakala bagi mereka dikuarantin hendaklah menggunakan ruang masa yang ada dengan aktiviti yang berfaedah,” katanya.

Jumlah kes Covid di Kelantan kebelakangan ini menunjukkan trend menurun, di mana semalam jangkitan berkurangan kepada 60 kes baharu.

Sehingga sekarang jumlah positif Covid-19 direkodkan di Kelantan sebanyak 3,063 kes.

Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Izani Husin berkata, berlaku sedikit penurunan kes positif semalam berbanding kelmarin.

“Patuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan demi kebaikan bersama,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/1/2021

- Advertisement -