Had bilangan jemaah masjid demi keselamatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk menghadkan bilangan jemaah di masjid-masjid adalah demi menjaga keselamatan seluruh umat Islam, demikian penegasan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Setiausaha Sultan Selangor, Dato’ Mohamad Munir Bani berkata keputusan itu dibuat melihat kepada statistik terbaharu kes jangkitan wabak Covid-19 di negeri itu yang masih lagi meningkat dengan jumlah kematian yang tinggi.

“Ketika ini, jumlah kes positif di Negeri Selangor telah mencecah lima digit dan tiga digit bagi angka kematian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya, Sultan Selangor memahami kegusaran dan kebimbangan umat Islam di negeri itu yang belum boleh berjemaah solat fardu dan menunaikan solat Jumaat di masjid-masjid kerana mematuhi garis panduan prosedur operasi standard (SOP) di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, baginda sendiri turut membaca rayuan yang disalurkan menerusi Sahibus Samahah Dato’ Mufti Selangor dan juga permohonan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan perkara berkenaan.

Bagaimanapun, baginda juga kesal dengan segelintir pihak yang tidak berfikir panjang dan hanya mementingkan diri dengan sanggup memudaratkan jemaah lain sekiranya masjid dan surau dibuka semula seperti biasa.

“Baginda tidak mahu lebih ramai lagi rakyat Negeri Selangor mendapat jangkitan akibat lalai mematuhi PKP dan SOP sehingga boleh menyebabkan kematian.

“Selepas ini, baginda berharap tidak ada lagi pihak yang bertelagah sesama sendiri berhubung keputusan yang telah diambil sebulat suara oleh pihak berwajib ini, demi keselamatan umat Islam di Negeri Selangor.

“Tegas baginda lagi, tidak bererti jika masjid dan surau ditutup maka amal ibadah juga akan terhenti,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/1/2021

- Advertisement -