BPN modal usahawan teruskan perniagaan rempeyek

MARANG: Wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sebanyak RM1,600 yang diterima tahun lepas ibarat ‘talian hayat’ buat Shahrizam Samsudin untuk meneruskan kelangsungan hidup serta dijadikan modal perniagaan rempeyeknya.

Pemuda berusia 36 tahun itu berkata beliau yang menjaja makanan di banyak lokasi seperti pasar malam, pasar pagi dan tepi jalan, buntu apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020 menyebabkannya hilang punca untuk mencari rezeki.

Namun, apabila menerima wang bantuan itu pada April, beliau bersyukur kerana itu sahaja wang tunai yang dimiliki untuk meneruskan perniagaan kecil-kecilan sehingga berjaya menubuhkan syarikat bagi mengkomersial dan meluaskan pasaran produk rempeyeknya.

Advertisement

“Sebaik terima wang BPN saya gunakan untuk membeli bahan-bahan membuat rempeyek dan menjualnya kepada kawan-kawan, sambutan sangat menggalakkan dan bermula dari situ saya serius mengkomersialkan jualan makanan tradisional ini,” katanya ketika ditemui Bernama di kilangnya dekat Kampung Padang Limau Nipis, Bukit Payong di sini hari ini.

Rempeyek keluaran syarikatnya, Micro Global Enterprise itu yang mampu mengeluarkan hampir 1,200 balang setiap bulan kini turut menjadi sumber rezeki kepada lebih 20 usahawan lain yang menjadi stokis dan ejen di seluruh Pantai Timur.

Shahrizam berkata buat masa ini, syarikatnya yang mempunyai empat pekerja itu mengeluarkan dua jenis rempeyek resipi asli turun-temurun keluarganya iaitu gabungan kacang tanah dan ikan bilis serta kacang dal dan ikan bilis yang dijual RM17 dan RM20 setiap satu.

“Setiap hari, kami menghasilkan 100 hingga 120 balang untuk memenuhi permintaan pelanggan dan jualan paling banyak ialah ketika musim perayaan tahun lepas iaitu sebanyak 4,400 balang,” katanya dan menambah produknya dijual di beberapa pasar raya dan stesen minyak di sekitar Terengganu.

Pengalaman Shahrizam yang pernah bekerja sebagai pegawai teknologi maklumat secara kontrak di sebuah syarikat milik kerajaan negeri Terengganu selama 12 tahun banyak membantunya dalam memasarkan rempeyek itu melalui pelbagai medium pemasaran dalam talian.

Hasratnya kini ialah untuk membeli sebuah van atau lori bagi memudahkan lagi urusan penghantaran rempeyek kepada stokis dan ejen yang berada jauh dari Terengganu memandangkan ia tidak boleh dihantar melalui syarikat kurier kerana mudah hancur.

Shahrizam juga mempunyai impian untuk membantu lebih ramai individu yang mahu memulakan perniagaan terutama mereka yang kehilangan pekerjaan akibat kemelesetan ekonomi susulan pandemik COVID-19.

“Alhamdulillah siapa sangka dengan bantuan yang disalurkan kerajaan tahun lepas telah dapat mengubah taraf ekonomi saya serta rakan usahawan kami yang lain.

“Bantuan ini memang sangat diperlukan oleh rakyat kerana wabak pandemik COVID-19 telah menyebabkan kehidupan semua orang terjejas. Hargai bantuan itu dan manfaatkannya dengan bijak demi kelangsungan hidup masing-masing,” katanya. – BERNAMA