UMMAH Pahang gesa polis siasat Anwar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Pahang menyifatkan kelakuan Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menghasut ahli parlimen mencabar Proklamasi Darurat seolah-olah langsung tidak mengendahkan keselamatan rakyat semata-mata kepentingan hak politiknya.

Pengerusinya, Roslan Md Esa berkata, perlakuan sedemikian itu juga seolah mempertikai titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat dalam matlamat ingin menjaga keselamatan negara dan memerangi pandemik Covid-19.

- Advertisement -

“Anwar Ibrahim merasakan dirinya mempunyai majoriti parlimen untuk membentuk kerajaan baharu dan menganggap Proklamasi Darurat ini mengganggu proses pertukaran kerajaan yang dirancang olehnya.

“Jangan mencabar kedaulatan negara dan hak raja-raja yang membuat keputusan mengutamakan rakyat lebih daripada politik. Anwar Ibrahim perlu disiasat kerana tindakan beliau boleh mengancam kedudukan raja-raja.

“Laporan polis ini dibuat adalah kerana Ahli Parlimen Port Dickson itu mempunyai pengaruh yang besar yang boleh membawa buih mulut fanatiknya mengulas Proklamasi Darurat sebagai langkah politik sehingga ada yang menghina Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Oleh demikian katanya, UMMAH Pahang hadir membuat laporan polis di Balai Polis Bentong, kelmarin terhadap tindakan Anwar menghasut ahli parlimen supaya mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong supaya membatalkan Proklamasi Darurat. – HARAKAHDAILY 27/1/2021

- Advertisement -