Sultan Nazrin perkenan solat 40 jemaah

- Advertisement -

IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memberi perkenan solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah, dengan had maksimum 40 orang jemaah dalam sesebuah masjid atau surau di negeri ini mulai esok, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Baginda juga menzahirkan titah nasihat, agar semua masjid dan surau menganjurkan solat sunat hajat setiap hari, agar bencana kesihatan yang sedang melanda dunia ketika ini berjaya dibendung, dan kehidupan insan dapat kembali normal.

- Advertisement -

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata, had jemaah itu tidak termasuk ahli jawatankuasa dan pegawai masjid atau surau dan jemaah yang dibenarkan terbatas kepada warganegara lelaki berusia antara 16 hingga 70 tahun.

“Solat Jumaat boleh diadakan di semua masjid dan surau, termasuk surau-surau dalam bangunan pejabat, institusi, universiti, maktab, sekolah, syarikat dan kilang, untuk memberi ruang kepada lebih ramai orang menunaikan solat Jumaat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata aktiviti agama berunsur ilmu dibenarkan diadakan di masjid dan surau dalam ruang waktu antara selesai solat Maghrib sementara menantikan masuknya waktu solat Isyak, dan hendaklah dihentikan sebaik masuk solat waktu Isyak.

Bagaimanapun beliau berkata, sebarang acara jamuan di dalam dan kawasan perkarangan masjid serta surau tidak dibenarkan, selain memperketat syarat-syarat fizikal antara jemaah dengan memperkenalkan keperluan-keperluan baharu, terutama mekanisme aliran jemaah masuk serta keluar masjid dan surau.

Sebelum ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 10 Nov lepas, solat Jumaat dan solat fardu di masjid dan surau di Perak, dilaksanakan dengan kehadiran jemaah dengan jumlah terhad dan berbeza mengikut zon merah, kuning dan hijau.

Selain itu, semua aktiviti keagamaan seperti ceramah, kuliah pengajian antara Maghrib dan Isyak serta selepas solat Subuh dan tahlil doa selamat, juga dibenar atau ditangguhkan bergantung kepada zon tertentu.

Mohd Annuar berkata Sultan Nazrin memberi perkenan, setelah menimbangkan sembah cadangan MAIPk yang berlandaskan nasihat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, serta pandangan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negeri Perak, sehingga dikeluarkan apa-apa ketetapan baharu.

“Jabatan Agama Islam Perak bertanggung jawab mengeluarkan garis panduan lengkap kepada semua ahli jawatankuasa serta pegawai masjid dan surau, di samping bertanggung jawab memantau pematuhan garis panduan,” katanya.

Beliau berkata Sultan Nazrin sedia memahami hasrat umat Islam yang mahu mengimarahkan rumah Allah dan beribadah secara berjemaah, namun bimbang akan ancaman terhadap keselamatan ummah akibat penularan wabak Covid-19.

Baginda juga bersimpati dengan para petugas Kementerian Kesihatan dan menzahirkan setinggi-setinggi penghargaan kepada kakitangan kementerian itu serta Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan pelbagai agensi lain, yang saling bekerjasama memastikan PKP dipatuhi rakyat. – BERNAMA

- Advertisement -