Siapa lelaki bersongkok itu?

- Advertisement -

BEBERAPA orang sahabat saya yang telah membeli dan membaca buku ‘Kelantan: Islam, Ulamak dan Politik’ yang baru siap dicetak tiga minggu lepas, telah mengirimkan mesej-mesej peribadi kepada saya. Mereka bertanya satu soalan. ‘Siapa lelaki bersongkok itu?’ Ramai orang mengenali wajah Tok Kenali dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menghiasai muka depan buku tersebut. Ternyata wajah lelaki bersongkok itu tidak dikenali, bahkan mungkin latar belakangnya, juga tidak ramai yang mengetahui.

Lelaki bersongkok itu sebenarnya ialah Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja Nik Mahmud bin Wan Ismail, Perdana Menteri Kelantan, 1921-1945. Beliau adalah seorang tokoh ulamak yang terkemuka dan hidup sezaman dengan Tok Kenali dan Dato’ Laksamana Muhammad Mohd Said. Tetapi beliau tidak dikenali dengan ketokohan di dalam bidang agama, sebaliknya nama beliau lebih terkenal sebagai seorang pentadbir atau pembesar negeri yang bergelar Dato’ Perdana Menteri, iaitu satu jawatan yang setaraf Menteri Besar sekarang.

- Advertisement -

Beliau dilahirkan sekitar tahun 1880-an di Kampung Atas Banggol, Kota Bharu. Ayahnya, Qadhi Haji Wan Nik Ismail bin Wan Mahmud bin Che Seman (m. 1898) adalah bekas Qadhi Kota Bharu pada zaman Sultan Mansor (1881-1900). Beliau hidup sezaman dengan Tok Wan Ali Kutan, Tuan Tabal, Tok Konok, Tok Guru Haji Awang Alim Atas Banggol dan Mufti Haji Nik Wan Daud. Beliau adalah salah seorang guru awal Tok Kenali, Tok Guru Haji Omar Nuruddin Sungai Keladi, Tok Guru Haji Omar Mentuan, Tok Jerulong dan beberapa ulamak lain. Sebagai anak kepada ulamak terkemuka ketika itu, Nik Mahmud telah mendapat pendidikan awal dengan ayahnya dan juga beberapa ulamak lain di Kota Bharu.

Beliau juga diriwayatkan pernah dihantar belajar di Pattani sebelum naik ke Makkah pada 1898 untuk mendalami ilmu agama dengan beberapa ulamak termasuk Sheikh Wan Ahmad Mohd Zain al-Fathani, Sheikh Nik Dir, Sheikh Nik Kechik, Tok Wan Ali Kutan dan lain-lain. Selain belajar agama, beliau dididik secara khusus oleh Sheikh Wan Ahmad al-Fathani dalam ilmu perundangan, kemasyarakatan dan politik. Setelah ibunya meninggal dunia di Makkah, pada 1906, beliau telah kembali ke Kota Bharu sebagai seorang ulamak muda yang progresif.

Setelah kembali ke Kelantan, beliau diberikan kepercayaan untuk menjadi kerani di Pejabat Tanah Kota Bharu, sebelum dilantik sebagai Kerani Besar di Pejabat Balai Besar Negeri (seperti Pejabat SUK hari ini). Pada 1911, Sultan Mohamad IV telah melantik beliau sebagai Penolong Setiausaha Sulit Sultan. Beberapa tahun kemudian, Dato’ Menteri Che Hassan Salleh telah jatuh sakit, dan Sultan Kelantan memberi kepercayaan kepada beliau untuk memangku dan menjalankan tugas-tugas Menteri Besar itu sepanjang keuzuran Dato’ Che Hassan.

Dalam 29 April 1921, Sultan Ismail telah melantik beliau secara rasmi sebagai Menteri Besar Kelantan bergelar Dato’ Perdana Menteri Paduka Raja. Beliau memegang jawatan ini sehingga zaman Perang Dunia Kedua. Pada akhir zaman perang itu, beliau telah bercuti dari jawatannya dan tugasnya dipangku oleh anaknya, Tan Sri Nik Ahmad Kamil. Pada 27 Disember 1945, beliau secara rasmi melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan.

Sebagai seorang ulamak, Dato’ Perdana Nik Mahmud mempunyai jasa yang besar terhadap perkembangan Islam di Kelantan, khususnya dalam menghadapi pengaruh British semenjak perlantikan Penasihat Siam berbangsa Inggeris, WA Graham pada 1903. Antara jasa terbesar beliau ialah penubuhan MAIK pada 1915, pembukaan Masjid Muhammadi sebagai pusat pengajian tinggi Islam selepas 1922, pembukaan Sekolah Arab (Maahad Muhammadi) pada 1917, penerbitan Pengasuh pada 1918 dan penubuhan Jamik Merbau Ismaili sebagai universiti Islam terawal di negara ini menjelang Perang Dunia Kedua.

Beliau juga turut menghasilkan beberapa karya seperti ‘Sejarah Kelantan’ yang tidak diterbitkan atas faktor politik, Ringkasan Cetera Kelantan (1934) serta Kitab Geografi dan Tarikh Negeri Kelantan (1926) dalam bidang sejarah; Kitab Cahaya Purnama (1918), Kitab Pati Rahsia (1948), Kitab Perbendaharaan Mastika (1946) dan Tajuk Kemuliaan(1946) dalam bidang agama. Beliau turut menulis sebuah carta mengenai keturunan Tengku, Nik dan Wan di Kelantan (carta ini diterbitkan oleh Nik Abdul Rahman Mustapha Hj Nik Man pada 2019 dengan judul Salsilah Keluaga Tengku, Nik dan Wan).

Selepas bersara dari jawatan politiknya pada 1945, Dato’ Perdana menumpukan hidupnya kepada kegiatan agama dan persilatan. Beliau tinggal di rumahnya di Kampung Atas Banggol, Kota Bharu sehingga meninggal dunia pada 16 Ogos 1964. Salah seorang anaknya yang terkenal ialah Tan Sri Nik Ahmad Kamil, bekas Menteri Besar Kelantan, bekas Duta di Australia dan pernah menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 27/1/2021

Sahabat saya, saudara Bakar Badzli merakamkan buku yang baru diterima dari kiriman saya. Pada kulit buku ini tertera wajah lelaki bersongkok itu.
Wajah Dato’ Perdana Nik Mahmud seperti yang terdapat di dalam buku Pedoman Kebangsaan dan Perlembagaan Negeri (1949) karangan Mufti Dato’ Haji Ahmad Maher.
Wajah Dato’ Perdana Nik Mahmud dalam pakaian kebangsaan.
Dato’ Perdana Nik Mahmud dalam pakaian istiadat.
- Advertisement -