Semangat tidak luntur ketika ada anggota positif Covid-19

Foto hiasan.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Seramai 40 polis yang bertugas sebagai barisan hadapan dalam usaha menyekat pandemik Covid-19 di Kelantan turut dijangkiti wabak itu.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, lima orang daripada jumlah itu disahkan positif, sementara bakinya diarah menjalani kuarantin.

- Advertisement -

Jelas beliau, kebanyakan anggota tersebut merupakan individu yang terdedah jangkitan dari Orang Kena Tahan (OKT) dan kontak rapat pesakit Covid-19.

“Kami sentiasa berusaha untuk mengatasi masalah ini dengan sebaik mungkin supaya dapat melaksanakan penguatkuasaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Malah kejadian seperti ini tidak menjejaskan semangat dan komitmen kami dalam menjalankan tugasan sepanjang tempoh PKP,” katanya ketika ditemui selepas meninjau Sekatan Jalan Raya (SJR) di hadapan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Tunjong di sini semalam.

Turut hadir pada tinjauan itu Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf. Sekatan itu merupakan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang membabitkan 19 SJR di seluruh negeri.

Shafien juga berkata, sejak awal tahun lalu sehingga kini seramai 125 anggota termasuk pegawai polis disahkan terlibat dengan penularan wabak tersebut.

Bahkan ujar beliau, ada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima OKT yang didapati positif Covid-19 dan pihaknya masih menunggu laporan berkaitan kes itu.

Polis juga sedang mengenal pasti peningkatan kes seksual dan keganasan rumah tangga di Kelantan dianggap ada kaitan pandemik Covid-19 dan PKP.

Menurut Shafien statistik bagi jenayah gangguan seksual sepanjang tahun 2020 sebanyak 184 kes berbanding 2019 membabitkan 164 kes.

Jelasnya lagi, bagi keganasan rumah tangga pula berjumlah 519 pada 2019 dan meningkat kepada 523 kes pada tahun lalu atas pelbagai kesalahan.

“Tetapi kami masih lagi mengkaji sama ada peningkatan kes ini berkaitan dengan pelaksanaan PKP yang dibuat untuk menyekat penularan Covid-19,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/1/2021

- Advertisement -