Rakyat Malaysia di Belanda dinasihat berwaspada

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang bekerja dan tinggal di Belanda diminta sentiasa berwaspada dan mematuhi peraturan kerajaan Belanda berikutan tunjuk perasaan yang tercetus di negara ini kerana membantah perintah berkurung untuk membendung penularan Covid-19.

Kuasa Usaha sementara di Kedutaan Malaysia di The Hague, Belanda, Dr Mohd Norhisyam Mohd Yusof berkata kedutaan memantau rapat perkembangan tersebut dan telah berhubung dengan warga Malaysia untuk memastikan mereka selamat.

Beliau berkata kedutaan juga memaklumkan rakyat Malaysi pengumuman terbaharu kerajaan Belanda mengenai pandemik itu menerusi e-mel, panggilan telefon, laman web kedutaan dan platform media sosial.

- Advertisement -

“Kami menasihati mereka untuk berhati-hati dan tidak menyertai mana-mana kegiatan yang boleh membahayakan keselamatan serta mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan kerajaan Belanda,” katanya menerusi WhatsApp kepada Bernama.

Kerajaan Belanda melaksanakan perintah berkurung bermula 9 malam hingga 4.30 pagi (waktu Belanda) mulai 23 Januari untuk membendung penularan Covid-19 yang semakin meningkat di negara ini. Ia perintah berkurung pertama di Belanda sejak Perang Dunia Kedua.

Namun, rakyat tidak berpuas hati dengan keputusan itu sehingga mencetuskan keganasan di Urk dan Limburg apabila perusuh yang berang dilaporkan membakar pusat ujian saringan Covid-19.

Rusuhan kemudian merebak ke bandar-bandar utama lain termasuk Eindhoven, Amsterdam, Rotterdam, The Hague, Amersfoort dan Den Bosch.

Menurut Mohd Norhisyam kes positif di negara itu menunjukkan sedikit penurunan sejak perintah berkurung bermula, berbanding 12,000 kes positif baharu yang didaftarkan sehari sebelum.

Katanya, meskipun rakyat Malaysia di Belanda belum meminta bantuan, kedutaan bersiap sedia membantu jika diperlukan.

Menurut Mohd Norhisyam, ketika ini terdapat 988 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan, kebanyakannya yang bekerja, pelajar, serta petugas kedutaan dan ahli keluarga mereka.

Beliau menggesa mereka yang belum mendaftar dengan kedutaan segera melakukannya menerusi laman web konsulat di https://embassymalaysia.nl.

Kedutaan boleh dihubungi melalui e-mel [email protected]; nombor telefon pejabat: +31703506506 (waktu pejabat); +31619007048 (selepas waktu pejabat dan Whatsapp); serta platform media sosial seperti FB, Twitter dan Instagram @myembnl.

Belanda mencatatkan 970,156 kes Covid-19 dan 1,772 kematian pada Selasa, menurut data John Hopkins University. – BERNAMA

- Advertisement -