Pesakit histeria di pusat kuarantin dibekal air ruqyah

- Advertisement -

KUALA KRAI: Persatuan Perubatan Islam Darussalam Cawangan Kelantan telah menghantar 120 botol air ruqyah 1.5 liter untuk kegunaan 60 pesakit positif Covid-19 yang dikuarantin di Dewan Jubli Perak MPKB.

Tindakan itu susulan terdapat beberapa kes pesakit yang histeria ketika berada di pusat kuarantin di mana inisiatif Darussalam Kelantan diketuai Ustaz Ibrahim Saad itu menyediakan air tersebut bagi membantu merawat histeria khasnya.

ADUN Guchil, Hilmi Abdullah berkata, air itu juga dimanfaatkan semua pesakit yang ditempatkan di pusat kuarantin sebagai usaha kaedah doa dan ruqyah bagi menghadapi musibah penyakit Covid-19.

Katanya, air tersebut dihantar petang semalam atas permintaan Pegawai Jabatan Kesihatan sebagai ikhtiar rawatan secara Islam bagi menyembuh pesakit Covid-19 yang mengalami histeria.

“Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan bersama-sama beberapa perawat dari Persatuan Perubatan Islam Darussalam turut berusaha menggunakan kaedah syifa’ sebagai ikhtiar kesembuhan mengikut perawatan secara Islam.

“Insya-Allah semoga semua pesakit yang diberi ujian banyak bersabar dan tingkatkan amalan zikir serta kerap berdoa agar penyakit Covid-19 diangkat daripada mereka semua oleh Allah SWT,” katanya di sini.

- Advertisement -

Sementara itu Exco Penerangan Persatuan Perubatan Islam Darussalam Malaysia, Ustaz Abdul Hadi Jusoh berkata, Darussalam tidak menyatakan Covid-19 adalah jin dan perlu diruqyah.

Sebaliknya jelas beliau, semua penyakit harus untuk dibacakan dengan doa dan ruqyah kerana al-Quran boleh menyembuhkan sebarang jua penyakit yang ada pada manusia.

Katanya, Covid-19 adalah virus sebagaimana yang disebut pakar-pakar dalam bidang perubatan, namun dalam usaha mencari penawar dan kesembuhan, tidak salah menjadikan doa dan ruqyah sebagai ikhtiar.

“Kaedah ruqyah dan perubatan moden (sains) tidak bertentangan, kerana kaedah sains berdasarkan hubungan manusia dengan alam. Manakala kaedah ruqyah berdasar hubungan manusia dengan Tuhan. Ia sama-sama berdiri untuk memberi kebaikan kepada manusia”.

Darussalam Malaysia akan mengeluarkan artikel lanjut berkenaan permasalahan tersebut memandangkan terdapat sesetengah pihak tidak memahami tujuan dan konsep doa atau ruqyah dalam menghadapi sesuatu penyakit,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/1/2021

- Advertisement -