Pensijilan MSPO pekebun kecil capai sasaran

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi pekebun kecil tersusun berjaya mencapai sasaran penuh pada penghujung 2020.

Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pensijilan yang dilaksanakan bersama agensi kerajaan persekutuan dan negeri itu melibatkan penyertaan 233,191 pekebun kecil dengan keluasan kawasan tanaman sawit sebesar 724,633.32 hektar.

Selain pencapaian penuh, 100 peratus pekebun kecil tersusun, pencapaian sektor ladang dan kilang kelapa sawit juga hampir mencapai sasaran sepenuhnya.

- Advertisement -

Sehingga 31 Disember tahun lalu, seluas 5.20 juta hektar atau 88.25 peratus daripada 5.9 juta hektar kawasan yang ditanam sawit di Malaysia telah memperoleh sijil MSPO.

Selain itu, 434 daripada 452 kilang kelapa sawit (96.02 peratus) telah memperoleh sijil MSPO.

Manakala, bagi pekebun kecil persendirian, seluas 311,739.51 hektar atau 31.61 peratus kawasan tanaman sawit telah dipersijilkan MSPO yang melibatkan 94,328 peserta.

Usaha itu dilakukan dengan kerjasama MPOB bersama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) serta Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) yang giat mempromosikan pensijilan MSPO bagi memastikan pengeluaran minyak sawit mampan di Malaysia

Kerajaan sebelum ini telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh pelaksanaan pensijilan MSPO bagi pekebun kecil yang berakhir pada 31 Disember 2020.

Sementara itu, menurut MPOB, bagi pekebun kecil yang masih belum melaksanakan pensijilan MSPO akan menerima surat peringatan yang oleh MPOB bermula 1 Januari 2021.

Sekiranya masih gagal mendaftar atau memulakan proses pensijilan MSPO, tindakan pembatalan, gantung lesen atau lesen tidak diperbaharui akan mula diambil. – HARAKAHDAILY 27/1/2021

- Advertisement -