Langkah menggagalkan permuafakatan MN dan PN

- Advertisement -

BEBERAPA langkah menghancurkan Muafakat Nasional (MN) telah bermula saat ia dilahirkan. Mereka serang bertubi-tubi. 

Mula-mula mereka cuba mempengaruhi ahli PAS agar jangan terima Umno. Ahli PAS perlu tinggalkan PAS kerana PAS dah sesat jalan. Untuk menyakin ahli PAS bahawa PAS dah sesat lalu mereka petik beberapa ucapan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz (ATGNA). Kononnya Tuan Guru Abdul Hadi Awang (TGHH) sudah melanggar amanat bekas Mursyidul Am PAS itu. Mereka gagal kerana ahli PAS bukan anjing yang asal nampak bayang lalu menyalak. Ahli PAS teguh walaknya kepada pimpinan.

Mereka masuk pula melalui Umno. Mereka cuba gambarkan kepada ahli Umno bahawa PAS telah mengkhianati Umno kerana bekerjasama dengan BERSATU dalam Perikatan Nasional (PN). Lalu diheret sama beberapa orang veteran Umno untuk menjayakan misi mereka menjahanamkan MN. Mereka hasut ahli Umno tolak PAS. Akhirnya mereka gagal kerana ahli Umno dan PAS sudah merasai nikmat persaudaraan. Lalu mereka menolak mana-mana pemimpin yang punya agenda peribadi.

- Advertisement -

Mereka masuk pula melalui BERSATU. Mereka hasut ahli BERSATU tolak Umno. Hujahnya seluruh Umno itu dah mesra dengan DAP dan Anwar. Jika sudah menolak Umno maka ahli BERSATU perlu menolak PAS sama kerana PAS mesra Umno dalam MN. Lalu kecenderungan segelintir pimpinan Umno kepada DAP itu dianggap pandangan keseluruhan ahli Umno. Tapi Mereka gagal juga. BERSATU tetap bersama PAS dalam PN sekali gus bersama Umno.

Mereka kembali mengacau PAS. Kerana mereka lihat tali hubungan antara BERSATU dan Umno itu ialah PAS. PAS adalah batu penghalang untuk mereka lagakan Umno dan BERSATU. Di samping itu mereka melihat PAS ditunjangi sama oleh DHPP. Lalu isu Thaipusam di Kedah seolah-olah jendela terbuka untuk mereka menyelinap masuk pecahkan PAS dengan DHPP. MIC yang tiada apa-apa hubungan muafakat dengan PAS telah digunakan untuk panaskan isu. 

Walaupun mereka tahu negeri-negeri lain juga tidak mengadakan sambutan Thaipusam seperti biasa. Mereka lihat negeri PAS yang paling muda ialah Kedah. Mereka sangka MB Kedah itu lemah dan ini peluang untuk lagakan PAS dengan DHPP sekali gus menguatkan MIC dan PH. Lalu berlompatan lah beruk-beruk Matyeh menyerang PAS. Kononnya PAS parti rasis dan sebagainya. Harapan mereka kononnya agar penyokong-penyokong MIC beri kata dua kepada Umno menerima PAS dalam MN atau MIC dalam BN. Sekali lagi mereka gagal. Bila mana pengerusi DHPP YB Senator Bala berikrar DHPP tetap bersama PAS.

Pasti mereka akan lakukan banyak perkara lagi di samping mencabar YDPA di mahkamah. Apa yang mereka fikir ialah kerajaan ini perlu ditumbangkan. Kerana di sana ada perut-perut besar yang perlu diisi. Ada kerongkong-kerongkong haus yang sekian lama sudah kekeringan projek-projek mega. Rakyat apa peduli. COVID-19 kah, banjir kah itu rakyat punya hal, yang penting aku ada nombor.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 27/1/2021

- Advertisement -