Kes Covid-19 di Kelantan trend menurun

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kem Latihan Batu Jong di Kuala Krai dijadikan sebagai transit sementara bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan penghuni penjara.

Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dato’ Dr Zaini Husin berkata, sehingga kini seramai 33 banduan di Penjara Pengkalan Chepa dan sembilan di Machang disahkan positif.

- Advertisement -

Beliau berkata, inisiatif tersebut dibuat hasil kerjasama Jabatan Penjara Kelantan dan Jabatan Kesihatan Negeri bagi mengenal pasti penempatan berkenaan.

“Kita telah mengambil usaha ini supaya penularan wabak Covid-19 tidak merebak, jadi buat masa ini kita setuju dengan pihak penjara untuk mengadakan tempat transit tersebut.

“Hal ini dilakukan, sebelum mereka dimasukkan ke penjara, dengan langkah-langkah ini kita harap dapat mengurangkan kes yang berlaku dalam penjara di Kelantan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Tautan Kasih PKRC Kelantan Musaadah Covid-19 di Dewan Jubli Perak MPKB-BRI di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kelantan, Ustaz Mahadi Awang dan Pengarah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Dr Azman Yakob.

Sumbangan seperti makanan, peralatan solat dan bahan bacaan disumbangkan oleh lima badan bukan kerajaan (NGO) termasuk individu persendirian melalui perantaraan Yadim Kelantan.

Dr Zaini berkata lagi, Jabatan Kesihatan Negeri tidak merancang untuk membuka PKRC baru jika trend kes positif menunjukkan penurunan dari tiga kepada dua angka kebelakangan ini.

Sehingga kini PKRC di Kelantan menempatkan 43 individu di Dewan Jubli Perak MPKB-BRI, 27 di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik), 55 Kolej Jururawat Kota Bharu dan 48 di Dewan Sivik Gua Musang.

“Trend sekarang berkurangan jadi kemungkinan kita tidak membuka PKRC baru tetapi sekiranya keadaan memerlukan kita telah mengenal pasti beberapa lokasi untuk dijadikan PKRC.

“Kita harap trend ini terus menurun setiap hari, jadi saya harap masyarakat dapat mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan kes tidak meningkat,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/1/2021

- Advertisement -