Kaji semula tarikh kemasukan semester baharu wajar

- Advertisement -

MELIHAT kepada keadaan semasa dengan rekod kes harian yang mencecah 4,000 kes sehari, perkara ini jelas menimbulkan kegusaran dalam kalangan mahasiswa termasuk ibu bapa bagi kemasukan semester baharu bermula Mac 2021 ini.

Terdahulu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah mengumumkan bahawa kemasukan pelajar pada semester baharu akan bermula Mac ini secara berperingkat. Prosedur Operasi Standard (SOP) dan garis panduan COVID-19 telah dikeluarkan oleh pihak KPT dan pihak pengurusan universiti bagi memastikan kelancaran pendaftaran pelajar bermula Mac nanti. Walau bagaimanapun, peningkatan kes yang mendadak telah memaksa pihak kerajaan untuk mengambil tindakan pantas dengan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) di beberapa buah negeri. Hal ini pastinya akan memberi kesan yang besar kepada mahasiswa.

- Advertisement -

Oleh itu, dengan tempoh waktu berbaki tidak kurang dari sebulan, mahasiswa memerlukan satu keputusan yang jelas dan pantas daripada pihak KPT mengenai status kemasukan pelajar ke IPT bermula Mac ini. Semalam, pihak KPT telah mengadakan mesyuarat secara atas talian bersama perwakilan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) bagi mendapatkan respon dan pandangan pemimpin mahasiswa dalam membuat keputusan tersebut.

GAMIS memuji sikap KPT yang menunjukkan sikap terbuka dengan memberi ruang dan peluang kepada mahasiswa untuk terlibat sama dalam memberi pandangan bagi sesuatu keputusan. Walau bagaimanapun, GAMIS juga berharap sikap terbuka itu tidaklah hanya terhenti kepada badan mahasiswa seperti MPPK sahaja namun dilibatkan juga badan-badan NGO mahasiswa dan universiti bagi memastikan keputusan itu lebih holistik.

GAMIS ingin mengingatkan pihak KPT agar setiap keputusan yang akan diambil berhubung isu ini dapat dimaklumkan awal sebulan atau lebih demi menjaga kemaslahatan mahasiswa. Sebagai tambahan, GAMIS juga ingin memberi penekanan agar situasi mahasiswa yang sedang menjalani latihan industri ataupun praktikal dan juga mahasiswa yang menyewa di luar kampus perlu dititikberatkan juga sebelum keputusan diambil. Usah biarkan pisang berbuah dua kali. Hal ini kerana kebajikan mereka sering dipinggirkan dalam setiap keputusan yang telah dimuktamadkan oleh pihak KPT.

GAMIS berdoa agar pihak KPT diberikan kelancaran semasa membuat keputusan yang amat berat ini. Mudah-mudahan, keputusan itu bakal menatijahkan kebaikan yang menyeluruh kepada setiap mahasiswa tanpa mengira status institusi pengajian; awam atau swasta. GAMIS juga sentiasa bersedia bagi menyambut sebarang pelawaan rundingan dalam memastikan kebajikan mahasiswa diberikan keutamaan tertinggi.

Akhir kata, GAMIS menyarankan agar semua mahasiswa kekal bertenang dalam menanti keputusan yang bakal diumumkan kelak.

Sekian.

“Memimpin Kebangkitan Mahasiswa”

MUHAMMAD NURSYAHMI SHAARE
Pengerusi Majlis Politik Nasional
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2021 – HARAKAHDAILY 27/1/2021

- Advertisement -