UMMAH Negeri Sembilan gesa Anwar disiasat

- Advertisement -

SEREMBAN: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Negeri Sembilan meminta pihak berkuasa, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang didakwa cuba mencabar Proklamasi Darurat.

- Advertisement -

UMMAH Negeri Sembilan tampil membuat laporan polis berhubung perkara di Ibu Pejabat Balai Polis Sikamat dekat sini, semalam.

Pengerusinya, Rosmin Adam menzahirkan rasa kecewa dan tidak bersetuju dengan mana-mana pihak sama ada individu atau kumpulan yang membuat apa jua tindakan mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurut beliau, tindakan Anwar yang menghasut ahli-ahli Parlimen agar mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong jelas mengingkari titah baginda.

Katanya, tindakan yang dilakukan Anwar juga bertentangan dengan perkara kedua Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, kemudian Ordinan Darurat serta Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, UMMAH Negeri Sembilan berpandangan bahawa tindakan Anwar Ibrahim itu adalah satu hasutan kepada pihak-pihak lain supaya mencabar atau mempersoalkan Proklamasi Darurat yang diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong kerana tindakan beliau jelas mendatangkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Kesalahan yang dibuat oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini adalah sangat serius kerana ia boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman negara,” katanya

Dalam pada itu, UMMAH Negeri Sembilan merafak sembah dan bersetuju dengan keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk mengistihar Proklamasi Darurat bermula 12 Januari lalu sehingga 1 Ogos ini.

Ini kerana katanya, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 150(8)(a), Yang di-Pertuan Agong mempuyai kuasa penuh memperkenankan darurat setelah baginda berpuashati dan tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak di mana-mana mahkamah di dalam negara kerana keputusan baginda adalah mutlak dan sah.

Justeru itu, UMMAH Negeri Sembilan menggesa pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar segera menyiasat Ahli Parlimen Port Dickson itu. – HARAKAHDAILY 26/1/2021

- Advertisement -