UMMAH akan lawan Anwar di mahkamah

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menegaskan bahawa pihaknya akan mencabar Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di mahkamah sekiranya Anwar nekad mahu Parlimen bersidang dalam tempoh Proklamasi Darurat ini.

Advertisement

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata tindakan Anwar untuk membawa isu itu ke mahkamah dengan menghasut Ahli-ahli Parlimen menyaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin yang dilantik sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong itu merupakan satu tindakan yang membawa ketidakstabilan kepada negara.

“Perkara ini boleh disiasat oleh pihak keselamatan, dan tindakan sewajarnya mesti dikenakan kepada pihak-pihak yang cuba mengganggu gugat kerajaan yang ditubuhkan oleh Agong, di mana Tan Sri Muhyiddin adalah Perdana Menteri yang dilantik bersama jawatankuasa darurat yang juga dilantik pada dua hari lepas.

“Perkara ini termasuk di bawah Perkara 150 (8) (a) Perlembagaan Persekutuan iaitu keabsahan keputusan Agong itu tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak ataupun di mana-mana mahkamah,” tegasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau turut menyifatkan bahawa pihak yang bersekongkol mengganggu-gugat keselamatan, kestabilan dan pentadbiran negara dalam tempoh Proklamasi Darurat ini merupakan satu tindakan yang boleh mencabar undang-undang ordinan darurat yang telah diperkenankan oleh Agong.

Beliau turut meminta rakyat Malaysia menolak sebarang pihak yang masih lagi berdegil dan tidak berpuas hati dengan tindakan dan keputusan dibuat oleh Agong.

“Saya kira rakyat sudah faham mereka sepatutnya menolak pihak-pihak tertentu ini yang masih lagi cuba untuk menggugat pentadbiran negara yang ada sekarang ini,” katanya.

Tambah beliau, laporan kali ini merupakan laporan polis yang ke-10 daripada UMMAH terhadap Anwar yang dibuat oleh UMMAH Wilayah, juga mewakili UMMAH Pusat.

Menurut Pengerusi UMMAH Wilayah, Md Shukor Aziz, Proklamasi Darurat tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak, bahkan di dalam mahkamah.

“Perkara 150 (8) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hal puas hati Agong adalah muktamad dan konklusif dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

“Jadi jika Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa ia tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan, maka sudah semestinyalah ia juga tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di luar mahkamah,” ujar beliau.

Justeru, beliau berkata, dengan adanya laporan polis ini, diharapkan agar pihak polis dapat membuat kenyataan bahawa tindakan ini adalah melanggar peraturan, undang-undang dan akta.

“Semoga tindakan daripada pihak polis dapat dimanfaatkan insya-Allah,” ujarnya selepas membuat laporan polis di IPD Dang Wangi, di sini, hari ini. – HARAKAHDAILY 26/1/2021