Solat Jumaat di Kelantan dibenar 50 orang

Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz
- Advertisement -

KOTA BHARU: Pelaksanaan solat Jumaat di masjid seluruh Kelantan dibenarkan dengan bilangan maksimum seramai 50 orang bermula Jumaat ini.

Kebenaran itu juga turut meliputi masjid bandar, jajahan dan mukim di Kelantan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 4 Februari ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, bagi solat fardhu pula dibenarkan hanya seramai 12 orang termasuk imam tua, imam muda, bilal siak dan anggota jawatankuasa sahaja.

- Advertisement -

Menurutnya, kebenaran itu juga meliputi masjid negeri, bandar, jajahan dan mukim.

Bagaimanapun beliau berkata, bagi solat fardhu di surau dan musalla hanya lima orang ahli jemaah sahaja dibenarkan termasuk imam, bilal dan ahli jemaah terpilih.

“Semua jemaah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan solat Jumaat dan fardu sebagaimana dikeluarkan sebelum ini.

“Perkara ini mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan,” katanya pada satu kenyataan di sini petang semalam.

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, MAIK amat mengharap kerjasama daripada semua pihak bagi melaksanakan ketetapan tersebut. – HARAKAHDAILY 26/1/2021

- Advertisement -