Polis Pahang kesan 1,226 individu bantu siasatan

Foto daripada laman Facebook Polis Pahang.
- Advertisement -

KUANTAN: Polis Pahang ingin mengesan 1,226 individu bagi membantu siasatan kes jenayah dan trafik yang berlaku sekitar negeri ini sejak 2000 sehingga kini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya telah mengeluarkan waran tangkap kepada 457 individu melibatkan kes jenayah antaranya bunuh, rogol dan samun manakala individu yang dikesan bagi jenayah komersial membabitkan kesalahan tipu serta pecah amanah pula seramai 29 orang.

- Advertisement -

“Bagi jenayah melibatkan narkotik sebanyak 713 waran tangkap telah dikeluarkan manakala 27 waran tangkap lagi dikeluarkan bagi individu yang terlibat kesalahan trafik,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, orang ramai boleh merujuk senarai individu dikehendaki menerusi Facebook Polis Pahang dan diharap dapat menyalurkan maklumat dengan segera kepada polis menerusi pusat kawalan kontinjen Pahang di talian 09-5051999/2202.

Dalam perkembangan lain, Abd Jalil berkata sebanyak 3,372 permohonan rentas negeri telah diterima semalam dan daripada jumlah itu, 105 terpaksa ditolak kerana alasan yang dikemukakan tidak munasabah.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Datuk Othman Nanyan dalam kenyataan berkata seorang lelaki dipercayai menikam warga emas berusia 73 tahun di bahagian pinggang dua hari lepas, ditahan di tepi Jalan Besar, di sini pada 3.26 petang tadi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek berusia 40 tahun itu memiliki kad rawatan pesakit mental di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), namun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Siasatan di tempat kejadian juga menemui pisau yang dipercayai digunakan untuk menikam mangsa yang kini dirawat di wad unit rawatan rapi HTAA disebabkan kecederaan serius di bahagian pinggang sebelah kanan,” katanya.

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata berbahaya.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, mangsa bersama isterinya yang berada di kawasan parkir Pasar Besar Kuantan, di sini telah didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang telah menikam mangsa menggunakan pisau. – BERNAMA

- Advertisement -