PdPR: PIBG perlu diaktif bincang dua hala

- Advertisement -

KANGAR: Penularan Covid-19 bukan sahaja memberi kesan yang buruk terhadap keadaan ekonomi negara, malah turut menyebabkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) di semua institusi pendidikan terganggu.

Berikutan itu bagi mengelakkan pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan sesi pembelajaran dilakukan secara Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).

- Advertisement -

Guru Sekolah Rendah Islam Al Furqan (SRIAF), Mohd Azreen Jumri berkata, cabaran era Covid-19 bukannya hanya kepada guru sebaliknya turut melibatkan ibu bapa.

“Ibu bapa perlu bijak mengatur masa demi pembelajaran anak-anak terutamanya bagi mereka yang bekerja.

“Namun begitu kita menyediakan dua kaedah bagi memudahkan ibu bapa iaitu melalui atas talian dan di luar talian.

“Jadi bagi ibu bapa yang tidak sempat mengikuti pengajian secara atas talian, mereka boleh mengikuti rakaman yang dibuat oleh guru di waktu mereka agak lapang,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya juga pihak sekolah menyediakan lembaran kerja untuk disiapkan dan dihantar secara mingguan.

Walau bagaimanapun beliau berkata, sekiranya sistem PdPR masih berterusan, dibimbangi menjejaskan usaha generasi muda yang berketrampilan dalam semua aspek.

“Kemungkinan boleh melahirkana generasi yang mahir dengan pelbagai ilmu, tetapi bagaimana pula dengan adab, akhlak dan sifat ehsan mereka.

“Di sinilah perlunya gabungan pendidikan di rumah oleh ibu bapa di samping perjuangan mereka mencari rezeki untuk keluarga,” ujarnya yang sudah tujuh tahun bertugas sebagai pendidik.

Beliau juga mencadangkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dapat diaktifkan kembali supaya perbincangan dua hala antara ibu bapa dan guru dapat diadakan. – HARAKAHDAILY 26/1/2021

- Advertisement -