‘Kita bekerja untuk rakyat, bukan duduk sahaja’

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin menyeru ahli-ahli politik menghormati proklamasi darurat yang telahpun mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, segala politik kepartian haruslah ditangguh sehingga darurat ditamatkan selari dengan kehendak dan tuntutan pengisytiharan darurat itu.

Beliau dalam masa sama turut menyarankan agar semua Ahli-ahli Parlimen menumpukan perhatian penuh kepada gerak kerja untuk membantu rakyat ketika saat genting ini.

- Advertisement -

“Pertamanya kita perlu menghormati proklamasi darurat itu sebab ia telah dipersetujui oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Proklamasi darurat itu sehingga Ogos nanti. Jadi kalau mahu bermula politik kepartian, (tunggu) sehingga Ogos nanti.

“Keduanya, sekarang ini kita perlu fokus kepada gerak kerja untuk membantu rakyat.

“Maksudnya ialah, Ahli-ahli Parlimen yang tidak boleh bersidang, mereka tetap ada rakyat di kawasan masing-masing.

“Maka, gunakan peruntukan yang mereka dapat itu untuk terus membantu rakyat. Elakkan politiking, fokus untuk menjaga SOP, untuk pastikan kita dapat memutuskan rantaian Covid-19,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi untuk mengulas berhubung langkah Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang sekali lagi mendakwa beliau mempunyai majoriti pada Program Bicara Negarawan bertajuk ‘Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita?’ anjuran Majlis Profesor Negara, pada Sabtu.

Anwar dalam program tersebut mendakwa bahawa seramai 114 hingga 115 Ahli Parlimen bersetuju sidang parlimen diadakan segera.

Katanya, jumlah itu dianggap sudah mencukupi untuk mencapai majoriti menolak usul kerajaan Perikatan Nasional (PN) melaksana darurat dan menggantung Parlimen bersidang.

Mengulas berhubung peranan DPPM ketika ini kata Khairil, DPPM banyak menganjurkan program-program berbentuk kebajikan untuk membantu rakyat yang kurang berkemampuan.

Bermula dengan mangsa banjir, kemudian kempen derma darah dan kini DPPM sedang bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan untuk membantu menjaga kebajikan rakyat, ujarnya.

“Contohnya, baru-baru ini kita bersama mengangkat kuasa rakyat untuk membuka kedai sampai pukul 10. Kita bersama-sama mendengar dan membantu rakyat. kita kena bekerja untuk rakyat, bukan duduk sahaja,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/1/2021

- Advertisement -