Kerajaan setuju tambah 18.4 juta vaksin Covid-19

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk menambah 18.4 juta dos vaksin Covid-19 bagi menampung keperluan lagi 28.75 peratus populasi rakyat Malaysia melalui dua syarikat pembekal vaksin iaitu Pharmaniaga Lifescience (PLS) dan Duopharma.

- Advertisement -

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Dr Adham Baba, PLS akan membekalkan sebanyak 12 juta dos Covid-19 Coronavac, SARS-COV-2 Vaccine (Vero Cell) Inactivated yang dihasilkan Sinovac Life Science, dijangka dilaksanakan secara berperingkat mulai April ini.

Manakala, Duopharma pula akan membekalkan sebanyak 6.4 juta dos vaksin Sputnik V yang dihasilkan Gamaleya Research Institute of Epidemiology and Microbiology di Russia.

Vaksin Sputnik V dijangka akan mula dibekalkan secara berperingkat mulai penghujung Mac ini, ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, penerima vaksin Covid-19 Coronavac, SARS-COV-2 Vaccine (Vero Cell) Inactivated akan menerima dua dos suntikan vaksin di mana suntikan dos kedua adalah selepas 14 hari dari dos pertama.

Tambah beliau, dengan jumlah 12 juta dos ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan program liputan imunisasi itu akan memanfaatkan enam juta orang atau 18.75 peratus daripada jumlah populasi rakyat Malaysia, berusia 18 tahun ke atas.

Bagi vaksin Sputnik V pula, setiap penerima akan turut menerima sebanyak dua dos suntikan di mana suntikan dos kedua adalah selepas 21 hari dari dos pertama.

Dengan jumlah 6.4 juta dos ini, KKM menjangkakan liputan program imunisasi ini bakal memanfaatkan 3.2 juta orang atau 10 peratus daripada jumlah populasi di Malaysia, berusia 18 tahun ke atas.

Pembekalan vaksin dari kedua-dua syarikat ini akan dimulakan setelah mendapat kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (Drug Control Authority), tambah kenyataan itu lagi.

Persetujuan perolehan vaksin itu diperoleh melalui sesi tandatangan Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr Adham Baba, Pengarah Urusan PLS, Dato’ Zulkarnain Md Eusope dan Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech Berhad, Leonard Ariff Abdul Shatar yang mewakili pihak masing-masing.

KKM sebelum ini telah menandatangani perjanjian pembekalan vaksin dengan syarikat Pfizer dan AstraZeneca.

Jumlah dos vaksin yang telah diperolehi dari kedua-dua syarikat masing-masing adalah sebanyak 24.28 juta dos dan 6.4 juta dos.

Perolehan vaksin-vaksin ini akan diselaraskan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang pada masa ini dalam proses akhir mendapat kelulusan kerajaan.

Keutamaan kerajaan ketika ini adalah bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat dalam memastikan Malaysia bebas Covid-19 di samping memulihkan ekonomi negara.

Justeru itu, perolehan vaksin-vaksin ini membolehkan kerajaan berada dalam landasan terbaik untuk mencapai keutamaan tersebut, ujar kenyataan itu. – HARAKAHDAILY 26/1/2021

- Advertisement -