Depot tahanan: Kerajaan akan sewa kem PLKN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyewa Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN), Kem Bina Negara dan fasiliti lain yang bersesuaian untuk dijadikan fasiliti serta depot tahanan sementara bagi kegunaan Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata ia bertujuan untuk menjamin penjarakan fizikal banduan dan tahanan di penjara, depot tahanan serta lokap bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Katanya, banduan dan tahanan yang sedang menjalani hukuman bagi kesalahan ringan sahaja akan ditempatkan di kem berkenaan.

- Advertisement -

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan bekerjasama dengan agensi keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM dan Jabatan Sukarelawan (RELA) untuk ditempatkan sementara bagi menjamin keselamatan yang ketat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara senarai Kem PLKN dan Kem Bina Negara yang akan dijadikan fasiliti tahanan sementara itu termasuk Kem PLKN Bukit Mertajam, Pulau Pinang; Kem PLKN Kota Lama, Kuala Kangsar, Perak; Kem PLKN A Famosa, Melaka; Kem PLKN Kuala Kubu Bharu, Selangor; Kem PLKN Cancun, Pasir Mas, Kelantan; Kem PLKN Kulim, Kedah; Kem PLKN Chini, Pahang; Kem PLKN Bagai Budi Resort, Sandakan, Sabah; Kem PLKN Wawasan Ovui, Papar, Sabah; Kem PLKN Paya Indah, Kuala Langat, Selangor; Kem PLKN Padang Kacong, Marang, Terengganu dan Kem PLKN Sri Ledang, Johor.

Selain itu, Kem PLKN Eco Millenium, Beranang, Selangor; Kem PLKN Sri Impian, Sungai Bakap, Pulau Pinang; Kem PLKN Nilai Ehsan, Bidor, Perak serta Kem Wawasan Negara, Langkawi, Kedah.

Menurut Mohd Zuki, pada masa ini pihak PDRM sedang berunding dengan pemilik fasiliti bersesuaian untuk dijadikan lokap sementara.

Dalam pada itu, katanya Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan bertindak mengumpul sebarang pandangan atau maklum balas rakyat bagi memberi gambaran sebenar kepada kerajaan mengenai situasi darurat semasa.

“KKMM juga akan bertindak secara strategik dengan mewujudkan saluran khas untuk memastikan maklumat berkaitan dengan pelaksanaan pengurusan darurat disampaikan kepada rakyat secara holistik dan tepat,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/1/2021

- Advertisement -