Barang kemas pesakit tidak hilang, serah pada waris

SEREMBAN: Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) mengesahkan barang kemas milik pesakit Covid-19 yang meninggal di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, yang didakwa hilang, berada dalam simpanan pihak hospital dengan selamat.

Pengarahnya, Datin Dr Harlina Abdul Rashid berkata semua set barang kemas itu tidak hilang dan telah pun dikembalikan kepada waris pesakit pada jam 4.30 petang tadi.

Advertisement

“Siasatan awal mendapati pengadu adalah waris kepada pesakit yang telah meninggal dunia pada hari yang sama di mana pesakit itu dibawa ke HTJ untuk mendapatkan rawatan.

“Jenazah mendiang juga telah selamat diserahkan kepada waris pada jam 9.30 pagi semalam setelah proses pengecaman mayat dilakukan di Jabatan Forensik, HTJ,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata perjumpaan bersama ahli keluarga mendiang juga diadakan pada hari ini bagi menjelaskan situasi sebenar dan waris berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.

Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan seorang lelaki yang merupakan anak pesakit mendakwa menyedari kehilangan set barang kemas itu ketika menuntut mayat ibunya semalam apabila pihak hospital hanya menyerahkan borang harta benda pesakit serta sebentuk cincin emas.

Lelaki itu mendakwa ibunya masih memakai rantai emas, subang telinga emas, tiga gelang dan sebentuk cincin ketika beliau dan kakaknya membawa wanita itu ke bahagian kecemasan di HTJ setelah mengalami demam dan kesukaran bernafas pada Ahad lepas. – BERNAMA