Warga KKM komited bekerja tanpa putus asa

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dianggap berada di landasan tepat dalam usaha melawan Covid-19 sehingga berjaya menangani gelombang pertama dan kedua tahun lepas.

Bagaimanapun sekarang, rakyat Malaysia berdepan dengan gelombang ketiga Covid-19 sejak penghujung September lepas.

Advertisement


KKM dalam satu kenyataan berkata, seluruh warga kementerian itu masih lagi komited bekerja tanpa putus asa dalam memerangi virus Covid-19.

Katanya, hari ini kes di Malaysia sudah mencapai 183,801 secara keseluruhan dan seramai 678 pesakit meninggal dunia.

“Bagaimanapun seramai 141,446 atau 77 peratus individu yang dijangkiti virus tersebut telah sembuh.

“Kerja tetap diteruskan seperti biasa oleh semua pengurusan tertinggi KKM dan juga barisan hadapan KKM yang sedang berjuang di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan klinik seluruh negara sekarang,” katanya di laman media sosialnya, hari ini.

Hari ini, genap setahun KKM berdepan dengan pandemik Covid-19 di negara ini, di mana kes pertama membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura.

Mereka yang terlibat dalam tiga kes pertama positif Covid-19 itu adalah ahli keluarga rapat kepada seorang lelaki berusia 66 tahun dan anak lelakinya yang berasal dari Wuhan, China.

Ia juga direkodkan sebagai dua kes pertama positif virus itu di Singapura. Mereka kemudiannya dirawat di Hospital Sungai Buloh. – ,HARAKAHDAILY 25/1/2021