UMMAH seluruh negara akan lapor polis terhadap Anwar

Berikutan seruan hasutannya yang derhaka terhadap YDPA atas pengisytiharan Darurat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) akan mengerakkan pertubuhan itu di negeri-negeri seluruh negara untuk membuat laporan polis ke atas Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata laporan polis itu perlu dibuat berdasarkan kepada seruan hasutan Anwar kepada Ahli Parlimen agar menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membatalkan Darurat.

Maklum beliau, langkah itu telah didahului oleh UMMAH Perak setelah menerima cadangan daripada salah seorang panelis iaitu Dr Kamarul Zaman Yusoff di Webinar Isu Semasa ‘Proklamasi Darurat: Apa Keperluannya?’ yang dianjurkan UMMAH, semalam.

- Advertisement -

“Hasil seruan itu beliau (Anwar) mendakwa telah mempunyai sokongan sebanyak 114 atau 115 bagi mengadakan sidang Parlimen. Sebagaimana umum tahu peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 150(8)(a), YDPA mempunyai kuasa penuh memperkenankan Darurat.

“(Yakni) setelah Baginda berpuashati dan kepuasan hati baginda berkenan membuat keputusan darurat adalah tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak dimana-mana mahkamah didalam negara ini. Keputusan Baginda adalah mutlak dan sah.

“Maka perbuatan Anwar dianggap merupakan satu bentuk hasutan dan boleh menimbulkan perasaan gelisah dikalangan rakyat negara ini, juga satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang ordinan darurat yang dikuatkuasakan.

“Sehubungan itu, bagi memberhentikan tindakan menghasut ini, UMMAH membuat laporan polis, agar membuat satu siasatan dan tindakan pencegahan wajar dilakukan bagi bagi kestabilan negara.

“UMMAH menyeru rakyat Malaysia agar bersama-sama mematuhi keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan bagi membendung wabak COVID-19 yang sedang dihadapi oleh negara,” tegas Mohd Zai.

Webinar semalam itu juga telah mempersetujui satu resolusi yang menegaskan bahawa Proklamasi Darurat diumumkan itu adalah keputusan yang sangat bijaksana dari Yang di-Pertuan Agong dan bertepatan Perlembagaan Persekutuan.

Malah, ianya telah mengambil kira nasihat keselamatan awam dari pakar kesihatan negara iaitu Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia dan juga menepati maqasid syariah sebagaimana yang ditentukan oleh agama Islam.

“Maka adalah menjadi tanggungjawab dan kewajiban kepada seluruh rakyat Malaysia mentaatinya tanpa ragu-ragu lagi dan sebarang percubaan pihak tertentu mempersoalkan tindakan keputusan YDPA adalah merupakan penderhakaan yang boleh diambil tindakan undang-undang,” ujar resolusi itu. – HARAKAHDAILY 25/1/2021

- Advertisement -