Sindiket penipuan pelaburan luar negara tumpas

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pelaburan luar negara yang tidak wujud selepas menahan 21 orang termasuk lapan warga China dalam serbuan di dua buah rumah mewah di Batu Feringghi dua hari lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata serbuan itu dilakukan susulan penahanan sebuah kereta jenis Honda City dinaiki dua lelaki masing-masing warga China dan rakyat tempatan di sekatan jalan raya (SJR) Op COVID-19 di Jalan Batu Feringghi pada 7 malam kerana didapati berada dalam keadaan mencurigakan. 

- Advertisement -

Susulan penahanan tersebut, polis menyerbu dua buah rumah mewah di Batu Feringghi dan menahan 13 warga tempatan termasuk seorang wanita, serta lapan warga China termasuk tiga wanita berusia antara 23 hingga 37 tahun.

“Polis merampas 453 telefon bimbit, sembilan komputer riba, lima kabel komputer dan sebuah Ipad dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan penipuan, selain dua buah kereta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sahabudin berkata berdasarkan siasatan, sindiket berkenaan dipercayai menawarkan pelaburan saham dalam talian disyaki tidak wujud membabitkan pelabur warga China dengan menggunakan aplikasi WeChat untuk membuat tawaran pelaburan, mengemas kini dan urusan pembayaran.

“Siasatan mendapati sindiket itu telah beroperasi lebih kurang dua bulan di Pulau Pinang dengan menyewa di rumah tersebut dan mereka dipercayai mempunyai rangkaian di beberapa negeri lain dengan modus operandi sama.

“Kesemua mereka yang ditahan menerima bayaran atau gaji antara RM2,000 hingga RM4,000 setiap bulan untuk menjalankan kegiatan penipuan itu,” katanya.

Menurut Sahabudin, sindiket terbabit menjalankan operasi di Malaysia bagi mengelak dikesan dan dikenakan hukuman mengikut Undang-undang China memandangkan mangsa adalah dalam kalangan rakyat negara itu.

“Sindiket menggunakan akaun bank di China untuk setiap transaksi dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut berapa nilai kerugian dialami mangsa termasuk mengesan dalang utama,” katanya.

Empat suspek warga China tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri manakala dokumen suspek lain didapati telah tamat tempoh dan polis membuat semakan dengan Jabatan Imigresen, katanya.

Beliau berkata kesemua suspek direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63. – BERNAMA

- Advertisement -