Proklamasi Darurat: Peluang ringankan beban rakyat

Dato' Iskandar Abdul Samad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu menggunakan Proklamasi Darurat untuk meringankan beban rakyat, kata Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH), Dato’ Iskandar Abdul Samad.

Menurutnya, rakyat mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas moratorium pinjaman bank yang diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2021.

“Moratorium ini memang membantu ketika ramai yang menghadapi masalah kewangan sama ada kerana telah kehilangan kerja atau melihat pendapatan mereka berkurangan akibat pemotongan gaji atau peluang perniagaan yang berkurangan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

- Advertisement -

Bagaimanapun, katanya terdapat dakwaan bahawa pemantauan kerajaan terhadap pelaksanaan moratorium adalah lemah.

Menurutnya, ada yang mengadu terdapat bank yang mencadangan pembiayaan semula (refinancing) kepada mereka yang memohon moratorium.

“Kerajaan mesti menyiasat sama ada dakwaan-dakwaan ini adalah benar atau tidak.

“Dengan Proklamasi Darurat, kerajaan perlu menggunakan peluang ini untuk meringankan beban rakyat dengan memastikan rakyat yang mengalami kesempitan hidup tidak terus terhimpit,” ujarnya yang juga Bendahari PAS Pusat.

Beliau berkata. bantuan-bantuan kewangan sahaja tidak mencukupi.

Justeru itu, tambahnya REACH mencadang perlu diwujudkan ordinan-ordinan untuk perkara-perkara menghalang tuan punya bangunan mengusir penyewa sekiranya tidak ada tempat tinggal atau premis alternatif yang sepadan, menghalang institusi kewangan dan syarikat sewa beli menarik, menyita atau merampas kenderaan, jentera dan mesin yang digunakan untuk kelangsungan kehidupan harian atau perniagaan serta menghalang perintah mahkamah bagi melelong, menyita dan membekukan harta.

Katanya lagi, rakyat menyokong Proklamasi Darurat agar pertelingkahan dan perbalahan politik dapat dikurangkan dan usaha-usaha ditumpukan untuk memerangi pandemik Covid-19 dan menyelamatkan nyawa.

Tambahnya lagi, rakyat akan terus menyokongnya jika ia dapat mengekalkan keamanan negara, menjamin kelangsungan kehidupan rakyat dan mempertahan momentum perniagaan.

“Tetapi Proklamasi Darurat ini perlu merangkumi usaha-usaha untuk meringankan beban rakyat secara khusus,” ujarnya.

Beliau berkata, beban menjamin kelangsungan hidup rakyat dan mempertahankan momentum perniagaan bukan terletak di atas bahu kerajaan sahaja.

“Institusi kewangan, syarikat besar dan golongan yang memiliki aset yang berlebihan mesti sama-sama menyumbang untuk membebaskan penderitaan rakyat justeru langkah-langkah yang tegas dari kerajaan amat diperlukan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 25/1/2021

- Advertisement -