Pemuda PAS Terengganu seru gencatan politik

KUALA TERENGGANU: Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) menyokong penuh kenyataan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bahawa, dalam situasi darurat kesihatan ini bukan masa sesuai berebut jawatan Perdana Menteri.

Ketua Pemudanya, Nasir Abdul Razak berkata, darurat kesihatan ini sewajarnya menjadi medan menyatupadukan semua pihak terutama orang politik bagi berhadapan dengan ancaman Covid-19.

Advertisement

Justeru itu, beliau mensyorkan agar semua ahli-ahli politik kerajaan dan pembangkang segera bertindak melakukan gencatan politik buat masa ini.

“Kami (Pemuda) mengajak semua pihak, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang, lakukan gencatan politik sekejap. Bagi laluan untuk kerajaan menguruskan krisis kesihatan yang tiada diketahui tempoh hentinya ini.

“Sabarlah dahulu, sesudah Covid-19 dapat kita (negara) bendung, cadangkan dan pilihlah Perdana Menteri dan parti pemerintah yang kalian mahukan,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.

Namun, kata beliau apa yang berlaku ketika darurat ini dilaksanakan muncul wajah sebenar parti-parti politik yang tidak mempedulikan nasib rakyat.

“Darurat ini juga sebenarnya menunjukkan wajah sebenar parti-parti politik yang tidak mempedulikan nasib rakyat. Namun, mengutamakan nasib jawatan Perdana Menteri.

“Sebenarnya rakyat sudah semakin bosan dan jemu dengan telatah ahli-ahli politik yang semangat politikingnya sama naik dengan penularan kes Covid-19,” tegasnya.

Sehubungan itu, kata Nasir, Dewan Pemuda PAS Terengganu menggesa semua pihak dapat bersama kerajaan bagi melandaikan kebolehjangkitan Covid-19 ini.

Semalam Presiden PAS berkata perbalahan perebuatan kuasa tidak sepatutnya berlaku dalam suasana negara sedang berdepan dengan cabaran darurat kesihatan

Ujar Tuan Guru Abdul Hadi, sikap pentingkan diri ini yang ditonjolkan sesetengah ahli politik menggambarkan mereka tidak peka dengan nasib yang sedang menimpa rakyat.

Justeru itu katanya, sebarang tindakan yang mengganggu dan boleh merosakan proses pelaksanaan Proklamasi Darurat perlu dicegah dengan langkah dan tindakan tegas.

Presiden PAS berkata demikian pada program webinar isu semasa anjuran Gerakan Pembela Ummah yang membincangkan topik Proklamasi Darurat: Apakah satu keperluan? berlangsung secara atas talian. Program itu, turut mengundang penampilan khas Timbalan Menteri (Hal Ehwal Agama) Ustaz Ahmad Marzuk Shaary.

HARAKAHDAILY 25/1/2021