Pemimpin politik dikejar lagi bayangan nombor

- Advertisement -

MASIH tidak serik bermain dengan nombor. Paklang pun pelik. Ketika murid dan pelajar berdepan kemelut Pembelajaran dan Pengajaran (PdPR) di rumah, lain pula cerita pemimpin politik.

Kisah ibu bapa terpaksa membeli laptop terpakai untuk membolehkan anak mengikuti PdPR seperti berlalu begitu sahaja.

Begitu juga hambatan untuk mendapat akses internet di luar bandar. Selepas internet ada, laptop pula tiada. Macam-macam muncul.

- Advertisement -

Sebelum ini anak yang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) sahaja dibekalkan laptop. Sekarang tidak begitu lagi. Murid sekolah rendah pun kena ada laptop. Paling tidak pun handphone yang boleh akses internet.

Lepas satu, satu muncul masalah berkaitan PdPR. Ini memperlihatkan kecaknaan ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak. Mereka tidak berkompromi isu pendidikan.

Paklang masih ingat. Kalau dahulu bapa terpaksa menjual lembu untuk biayai anak masuk IPT. Sekarang tanya Paklang nak jual apa lagi.

Peniaga pasar malam pun tidak boleh berniaga sekarang. Warung pun hanya sekadar buka separuh pintu. Tidak boleh sediakan kerusi untuk pelanggan.

Semuanya terbantut akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). PKP 2.0 kerana pandemik Covid-19 makin menular.

Semua berkait rapat antara satu sama lain. Ketika ibu bapa, penjaja dan pemandu bas berdepan dengan kemelut itu, lain pula cerita pemimpin poltik.

Paklang nampak mereka seperti tidak hiraukan apa yang ibu bapa luahkan. Segelintir pemimpin politik tidak hiraukan musim Covid-19 atau bukan.

Sehari dua ini muncul lagi nombor dan majoriti. Kata Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim setakat ini terdapat antara 114 hingga 115 ahli parlimen yang bersepakat mahukan darurat dibatalkan.

Menurutnya jumlah berkenaan cukup untuk memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan memanggil sidang khas parlimen.

Kalau tiada proklamasi darurat, Paklang nampak suasana makin kalut. Usaha kerajaan menangani wabak terganggu.

Kerajaan tidak boleh hendak fokus. Isu politik yang kecamuk boleh mengheret keadaan menjadi lebih parah. Maka proklamasi darurat antaranya ubatnya.

Seperti kata pakar perlembagaan, Dr Wan Ahmad Fauzi – ‘kalau kerajaan tidak bertegas kita tidak tahu apa yang akan berlaku sehingga Ogos nanti.’

Pengalaman apa yang berlaku Februari 2020 sepatutnya menjadi pengajaran. Ketika itu rakyat dilanda cemas setiap hari dengan suasana politik.

Wabak Covid-19 ketika itu baru muncul dengan Kluster Tabligh. Paklang bukan hendak buat ramalan, namun pengalaman dan sejarah sepatutnya jadi panduan.

Kerenah mendesak diadakan persidangan parlimen tidak terhenti di situ. Malangnya ada juga suara dalaman. Namun rata-rata pemimpin parti itu seperti tidak hiraukan surat setiausaha agungnya.

Suara serupa juga muncul di blog bekas perdana menteri. Dr Mahathir Mohamad turut menganggap pelaksanaan darurat tidak perlu.

Namun katanya mereka takut untuk bersuara. “Ternampak mereka dalam ketakutan. Disuruh tandatangan surat rayuan supaya darurat ditarik balik mereka tolak,” ujarnya.

Kes mahkamah

Sebaliknya di tengah-tengah usaha untuk rayu Yang di-Pertuan Agong perkenan persidangan parlimen, tiba-tiba muncul pula kes mahkamah.

Akhbar melaporkan rayuan Anwar untuk batalkan saman pemula seorang peguam akan didengar di mahkamah. Tarikhnya pada 28 Julai 2021.

Kes itu dikatakan berkaitan isu pengampunan kes liwat bekas pembantunya. Hari sama Mahkamah Rayuan juga akan mendengar rayuan Lembaga Pengampunan untuk ketepikan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan serupa.

Sebelum ini seorang peguam tidak berpuas hati terhadap pengampunan penuh diberi kepada Tok Nuar.

Pada 21 September lepas mahkamah menolak permohonan Anwar selepas memutuskan peguam terbabit mempunyai locus standi memulakan saman tersebut.

Peguam berkenaan mendakwa pengampunan diberi kepada Anwar bercanggah dengan Perkara 42 (4) dan (5) Perlembagaan Perrsekutuan.

Dakwaan peguam itu juga Lembaga Pengampunan belum dibentuk secara rasmi selepas PRU14. Paklang tidak faham sangat tentang undang-undang.

Apa pun kita tengoklah nanti apa yang akan berlaku. Cuma Paklang bimbang Julai 2021 seperti hampir dah dengan PRU15.

Proklamasi darurat yang dikuatkuasa sekarang akan berakhir pada 1 Ogos 2021.

Sedangkan kes Anwar disebut 28 Julai. Paklang bimbang silap hari bulan boleh jejas peluangnya untuk bertanding pula. Allahua’lam. – HARAKAHDAILY 25/1/2021

- Advertisement -