Pantau kenaikan harga barang – Tok Mat

Ilustrasi dari Facebook KPDNHEP.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan atau mesra dipanggil Tok Mat menggesa tindakan dan inisiatif pemantauan harga makanan serta bekalan barangan keperluan asas segera dipertingkatkan.

Menurutnya, kebelakangan ini rakyat semakin terbeban dengan kenaikan harga barangan terutamanya bekalan makanan mentah.

- Advertisement -

Selain itu, kata beliau perkara yang lebih membimbangkan ialah trend harga barangan berterusan naik dengan perlanjutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sesuatu mesti segera dilaksanakan untuk mengatasi masalah ini. Dasar kecukupan dan keselamatan makanan bukan sekadar memasti kecukupan bekalan tetapi juga memastikan harga makanan selari dengan kuasa beli rakyat.

“Begitu ramai rakyat Malaysia telah kehilangan mata pencarian akibat pandemik Covid-19.

“Kuasa beli segelintir rakyat berada pada tahap yang genting. Tanpa intervensi kerajaan, mereka bukan sahaja akan miskin, tetapi juga hidup dalam keadaan lapar dan tidak mempunyai kecukupan makanan,” ujar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau.

Sementara itu, beliau berkata, pihak kerajaan juga wajar menggalak dan menghulurkan bantuan untuk pertanian bandar.

“Penduduk Malaysia, terutamanya yang menetap di bandar, boleh menerima pakai konsep edible garden di kediaman mereka.

Sumber Facebook Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan

“Gunakan tanah lapang di persekitaran rumah untuk menanam sayuran termasuk menanamnya dalam pasu.

“Penanaman sayur-sayuran di rumah mampu mengurangkan kos sara hidup seharian dan memudahkan akses kepada bekalan sayuran segar tanpa kebimbangan penyebaran Covid-19 di pasar raya,” ujarnya.

Manakala bagi golongan rentan, kata Mohamad, pemberian voucher makanan dan barangan runcit boleh dipertimbangkan segera.

“Negara maju telah lama melaksanakan intervensi food stamp dan voucher barangan perlu.

Voucher sedemikian bukan sahaja dapat meringankan beban kewangan keluarga yang paling terhimpit, ia juga dapat menjana pendapatan pemilik dan pengusaha kedai runcit.

“Bantuan tersebut secara langsung juga akan meningkatkan pengguna agregat dan membantu peniaga kecil, pengusaha pasar raya serta restoran,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/1/2021

- Advertisement -