Komitmen berterusan memperkasa golongan OKU

- Advertisement -

SEMUA orang dilahirkan istimewa, cuma kadangkala kita mengambil masa untuk mengenalpasti keistimewaan diri kita. Ahad lepas (24 Januari) saya bersama YB Datuk Seri Rina Mohd Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengunjungi Pusat Latihan Pemulihan dan Perindustrian OKU (PLPP) Bangi yang merupakan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

PLPP memberikan perkhidmatan latihan vokasional dan pemulihan perubatan kepada Orang Kurang Upaya (OKU). Setelah menjalani latihan, ramai di antara mereka yang dapat berdikari; sama ada berkerja sendiri ataupun dengan majikan sektor awam dan swasta. Bila diperhatikan, hasil kerja mereka tidak kurang kualitinya jika dibandingkan dengan kita yang cukup anggota, malah ada yang nampak lebih halus hasilnya berbanding yang didapati di luar sana.⠀

- Advertisement -

Sebagai kerajaan yang inklusif, golongan OKU tidak ketinggalan diberi perhatian di dalam Belanjawan 2021. Dengan objektif memperkasa golongan OKU, Belanjawan 2021 memperuntukkan sejumlah RM100 juta untuk menaikkan elaun bulanan petugas-petugas Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) daripada RM800 kepada RM1,200 dan dari RM1,200 kepada RM1,500 sebulan, di mana kebanyakan daripada petugas-petugas adalah dari golongan OKU. ⠀

Satu lagi inisiatif yang ingin saya serlahkan ialah Insentif Pengambilan Pekerja OKU di bawah Penjana Kerjaya di mana majikan boleh mendapat insentif sehingga 60 peratus dari gaji bulanan pekerja OKU mereka.

Semasa saya di dalam industri perbankan dahulu, golongan OKU juga diberi perhatian di dalam program tanggungjawab sosial korporat kami. Salah satu program kami adalah perusahaan sosial Foodbike bagi mereka yang bisu dan tuli. Penerima yang layak diberikan latihan dan mampu berdikari selepas itu dengan menjalankan perniagaan Foodbike mereka sendiri. ⠀

Bak kata pepatah Cina; ‘Bila anda beri seseorang ikan, anda memberinya makan untuk sehari tetapi bila anda mengajarnya memancing, anda memberinya makan seumur hidup.’

Kekurangan upaya tidak semestinya penghalang untuk seseorang berjaya dalam hidup. Dengan semangat gigih serta sokongan dari keluarga dan masyarakat, Insya-Allah pasti berjaya. Apa yang mereka mahukan adalah peluang untuk membuktikan kemampuan mereka.⠀

Untuk pengetahuan anda di luar sana, PLPP Bangi juga menawarkan produk seperti makanan, songket dan karya seni halus kepada orang ramai. Berilah sokongan anda dengan membeli produk mereka. Layari laman Facebook ProWell Project untuk melihat hasil karya mereka.

YB SENATOR DATO’ SRI TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Menteri Kewangan Malaysia – HARAKAHDAILY 12/1/2021

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!