JKKP pantau pematuhan SOP PKP di kilang berisiko

- Advertisement -

PAGI tadi saya menyertai satu operasi khas bagi memantau pematuhan Kilang Pembuatan Glove terhadap Perundangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan termasuk Prosedur Operasi Standard Perintah Kawalan Pergerakan (SOP PKP) Sektor Pengilangan Dan Pembuatan, yang dikenali sebagai Operasi Glove di Sepang dekat sini hari ini.

Operasi ini dijalankan dalam usaha membantu mencegah penularan COVID-19 di tempat kerja. Dalam konteks ini, JKKP memberi fokus kepada industri yang mempunyai bilangan pekerja yang ramai dan mempunyai risiko yang lebih tinggi secara relatif berbanding dengan industri lain.

- Advertisement -

Operasi ini juga dijalankan bagi memastikan pemain industri, khususnya pengeluar sarung tangan mematuhi perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP), dan seterusnya menjamin kesinambungan produktiviti industri tersebut.

Operasi Glove telah diadakan selama seminggu bermula 18 hingga 25 Januari 2021 melibatkan pemeriksaan ke atas 104 tempat kerja seluruh negara. Melalui operasi tersebut, majikan dalam industri pembuatan sarung tangan didapati mengamalkan tahap pematuhan KKP yang tinggi kecuali 6 buah syarikat yang mempunyai tahap pematuhan yang kurang memuaskan.

Dalam aspek pencegahan penularan COVID-19 pula, secara purata 90 peratus kehendak SOP PKP di tempat kerja dipatuhi oleh majikan terbabit. Dalam operasi khas ini, pihak JKKP telah mengeluarkan 16 notis penambahbaikan dan 50 surat arahan kepada majikan kerana tidak mematuhi kehendak perundangan berkaitan KKP.

Majikan yang masih gagal mematuhi notis yang telah dikeluarkan boleh diambil tindakan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang memperuntukkan penalti maksimum sebanyak RM50,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya. 

Untuk rekod, pada tahun 2020 JKKP telah mengambil 232 tindakan pendakwaan dan 583 kompaun dikeluarkan bagi kes pelanggaran perundangan KKP yang melibatkan penalti berjumlah RM 4.9 juta.

YB HAJI AWANG HASHIM
Timbalan Menteri Sumber Manusia – HARAKAHDAILY 25/1/2021

- Advertisement -