Jadilah pemberi, jangan hanya mahu menerima

- Advertisement -

‘SAYA mahu jadi seperti…’ Seorang lelaki meletakkan kereta mewahnya di luar rumah sahabatnya. Apabila bila keluar dari rumah sahabatnya, beliau nampak seorang budak lelaki berpakaian kusut sedang membelek-belek kereta mewahnya itu.

Lelaki itu menghampiri keretanya dan budak itu terkejut melihat kelibatnya lalu budak tersebut meminta maaf kerana menyentuh kereta mewahnya. Lelaki itu berkata; ‘Tidak mengapa. Jom naik kereta abang. Abang bawa adik makan angin sekejap.’

- Advertisement -

Budak itu merasa teruja dengan ajakan itu dan tanpa berfikir panjang terus menerimanya dan duduk di sebelah tempat duduk penumpang. Budak itu tidaklah memberikan banyak perhatian kepada pemandangan di luar tetapi matanya liar melihat dan menyentuh dalaman kereta mewah itu. 

Lelaki itu membawa budak tersebut pulang ke rumahnya dan sebelum berpisah, budak itu bertanya; ‘Abang beli kereta ini berapa harganya? Mesti mahal kan?’

Lelaki itu menjawab; ‘Tak lah. Bukan abang yang beli kereta ini. Abang saya belikan dan hadiahkan kereta ini kepada saya.’

‘Wow’ budak itu kagum lalu beliau menyambung; ‘Saya harap saya boleh jadi seperti abang anda. Saya harap dapat jadi seperti dia supaya saya boleh belikan adik saya kereta seperti abang anda belikan kereta ini untuk anda.’

Sahabat semua, apabila kita mendengar seseorang menerima sesuatu pemberian dari orang lain, maka tanamkan dalam diri kita satu niat dan harapan agar kita juga menjadi seperti pemberi bukannya sekadar berharap alangkah baiknya kita yang menjadi penerima.

Untuk melihat diri kita ini adalah hamba dunia atau hamba akhirat, lihatlah apakah kita lebih gembira ketika menerima hadiah dari seseorang atau ketika kita memberi hadiah kepada orang lain. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud;

“Maka barangsiapa memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa, dan membenarkan (adanya pahala) yang terbaik (Syurga), maka akan Kami mudahkan baginya jalan menuju kemudahan (kebahagiaan). Dan adapun orang yang kikir dan merasa dirinya cukup (tidak perlu pertolongan Allah), serta mendustakan (pahala) yang terbaik, maka akan Kami mudahkan baginya jalan menuju kesukaran (kesengsaraan). Dan hartanya tidak bermanfaat baginya apabila dia telah binasa.”

[al-Lail: 5-11]

Semoga Allah S.W.T kita menjadi manusia yang lebih bahagia ketika memberi berbanding dengan ketika menerima. Allah tidak menilai jumlah pemberian tetapi Allah menilai keikhlasan dalam pemberian itu. 

FIRDAUS WONG WAI HUNG 
Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) – HARAKAHDAILY 25/1/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -