Go Digital ASEAN tawar latihan digital untuk 15,000 belia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: The Asia Foundation dengan sokongan geran bernilai USD3.3 juta daripada badan filantropi Google, Google.org akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Penyelaras ASEAN untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (ACCMSME).

Ia untuk melatih sehingga 200,000 orang dari kawasan luar bandar dan masyarakat yang kurang berkemampuan, berfokus untuk menutup jurang digital di seluruh ASEAN, selaras visi ditetapkan oleh Agenda Tindakan ACCMSME berdasarkan Digitalisasi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana ASEAN melalui Pembangunan Kapasiti. 

Di Malaysia, rakan pelaksana terpilih, International Youth Center dan Startup Malaysia, akan menggunakan sebahagian daripada dana tersebut bagi menghasilkan modul latihan literasi digital dengan tujuan melatih 15,000 belia dan pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PKS), dengan 50 peratus daripadanya adalah wanita. 

- Advertisement -

Latihan akan tertumpu pada kemahiran seperti membuat profil dalam talian di platform rangkaian profesional, menjalankan perniagaan dalam talian melalui media sosial, dan menggunakan portal pekerjaan untuk meningkatkan kebolehkerjaan. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah melancarkan kerjasama antara Jawatankuasa Penyelaras ASEAN untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (ACCMSME) dan The Asia Foundation ini.

Juga dengan sokongan Google.org di mana menyumbang kepada pengembangan kapasiti perusahaan ASEAN dalam digitalisasi dan akan membantu mewujudkan integrasi digital rantau ini seperti yang diharapkan oleh ASEAN Digital Intergration Framework (DIF).

“Kami berbesar hati dapat mengaktifkan kolaborasi pertama seumpama ini – mengumpulkan kepakaran dan pendekatan daripada sektor kerajaan, perniagaan, dan NGO untuk membantu merapatkan jurang digital,” kata Presiden The Asia Foundation, David D. Arnold.

Di kampung dan di bandar-bandar kecil di rantau ini, pejabat tempatan The Asia Foundation akan memimpin rangkaian komuniti pelatih dan sukarelawan untuk membantu pemilik PKS dan pekerja guna tenaga tidak penuh (underemployed) ke dalam ekonomi digital. 

“Perniagaan kecil adalah nadi ekonomi dan komuniti setiap negara. Keadaan yang sukar sekarang telah menguatkan desakan menyokong aspirasi digitalisasi mereka. 

“Saya berbangga dapat menyokong The Asia Foundation dan ACCMSME, yang sama-sama berkongsi semangat kami untuk membantu perniagaan tempatan untuk berjaya, berkembang dan mencipta peluang untuk ekonomi tempatan,” jelas Pengarah Urusan Google Malaysia, Marc Woo.

Sejajar dengan ekonomi digital ASEAN yang terus berkembang, Kerajaan Malaysia juga banyak mempromosikan digitalisasi sebagai salah satu langkah untuk memastikan kelangsungan dan kesinambungan perniagaan, terutamanya dalam menghadapi pandemik COVID-19. 

Namun, kerajaan tidak dapat melakukan usaha ini sendirian dan akan memerlukan sokongan serius oleh perusahaan ini sendiri. 

Menurut hasil tinjauan Post-COVID-19 yang dilakukan oleh MEDAC pada bulan Ogos 2020, lebih banyak yang perlu dilakukan oleh PKS dari segi usaha digitalisasi agar Malaysia menjadi sebahagian daripada ekonomi digital yang sedang berkembang. 

Dari 2,118 responden perniagaan, 45.76 peratus telah mengadopsi e-dagang manakala hanya 19.02 peratus yang menggunakan teknologi dan digitalisasi. 

Selanjutnya, Kajian Indeks Kesediaan Digital Maxis bertarikh 23 November 2020 juga melaporkan bahawa hanya purata 42 peratus PKS yang bersedia untuk digitalisasi. 

Kejayaan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam melaksanakan integrasi digital ini di rantau ini akan membantu merapatkan jurang literasi digital dan boleh membawa peluang dan ganjaran baru bagi PKS di Malaysia dan ASEAN. 

Ucapan yang dirakam oleh Menteri, serta wakil dari Google.org dan The Asia Foundation, dipaparkan di laman web Go Digital ASEAN Malaysia – go-digital.my

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pelaksanaan program di Malaysia, sila e-mel [email protected] atau [email protected]. – BERNAMA

- Advertisement -