Dua minggu darurat tanpa ada porak-peranda

- Advertisement -

HAMPIR sahaja saya tidak sedar, sudah dua minggu kita melalui tempoh darurat. Alhamdulillah, rakyat boleh menerima bahawa darurat yang diisytiharkan ini adalah bagi tujuan kesihatan, bukan untuk bermain politik.

Sehingga hari ini, masih tidak ada suasana porak-peranda dan huru-hara. Kalaulah hendak dikatakan pengisytiharan darurat ini bermotifkan politik, tidak ada lagi negeri-negeri pembangkang yang dirampas oleh Kerajaan Persekutuan. Rakyat masih boleh bekerja dan berniaga seperti biasa, tertakluk kepada SOP dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa. 

- Advertisement -

Begitu juga perjalanan pentadbiran agensi agama. Sebagai contoh, Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP) khususnya telah memperkenalkan banyak inisiatif untuk terus membantu rakyat mendapatkan akses keadilan, walaupun dalam tempoh darurat. 

Saya faham ada sahabat-sahabat yang susah hati dan risau kalau darurat kali ini akan menjejaskan perjalanan kes masing-masing di Mahkamah Syariah. Buat masa ini, MSWP masih beroperasi, cuma dalam tempoh yang sedikit terhad dan bagi kes-kes yang sangat mendesak dan memerlukan perhatian segera. Kita terpaksa melakukan sedikit limitasi bagi mengelakkan risiko yang lebih besar kepada rakyat. 

Saya boleh menarik sedikit nafas lega apabila dimaklumkan bahawa kes cerai adalah antara kes-kes yang akan diberi keutamaan dalam tempoh PKP ini. Saya faham, kes cerai ini tidak mudah, kerana akan melibatkan tuntutan-tuntutan sampingan pula seperti penjagaan anak dan tuntutan nafkah. 

Kepada yang sedang melalui ujian ini, saya harap kalian semua kuat dan bersabar sementara pihak mahkamah menguruskan hal-hal yang berkaitan. Pada minggu lepas pula, MSWP sendiri sudah mula melaksanakan perbicaraan kes rayuan syariah secara dalam talian. 

Kes mengenai Rayuan Harta Sepencarian itu telah didengari oleh 3 orang panel Hakim Syar’ie. Saya optimis lebih banyak kes yang boleh dikendalikan secara dalam talian sehinggalah tempoh darurat tamat.

Bagi prosedur-prosedur mahkamah yang biasa, saya secara peribadinya mahu mengucapkan tahniah kepada pihak MSWP atas inisiatif menyediakan perkhidmatan secara persidangan video, dan menggunakan aplikasi Telegram sebagai platform kepada peguam-peguam Syarie mendapatkan maklumat-maklumat terkini. 

Jika ada masalah dengan jangka waktu kes yang sedang dikendalikan, saya menyarankan agar para peguam Syar’ie membuat permohonan kepada mahkamah untuk melaksanakan prosiding secara dalam talian.

Kita semua sedang melalui situasi yang sukar, dan ini berlaku bukan sahaja di Malaysia. Saya amat mengharapkan agar semua pihak boleh bersabar dengan kekangan-kekangan yang tidak boleh dielakkan, walaupun dengan semua penambahbaikan yang telah diusahakan. Semoga semua pihak yang berusaha berada dalam petunjuk dan nusrahAllah Taala.

YB AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 25/1/2021

- Advertisement -