Dasar Manhaj Rabbani fokus utama

Foto JAKIM
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperkenalkan Dasar Manhaj Rabbani dengan meletakkan thaqafah (keilmuan), ruuhaniyyah (kerohanian) dan da’wah (aktivisme) sebagai paksi utama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata dasar itu adalah suatu konsep yang dekat dengan rakyat dan mudah difahami.

- Advertisement -

“Dasar Manhaj Rabbani adalah suatu konsep yang dekat dengan kita, jelas, mudah difahami dan mampu diterjemahkan di peringkat individu, komuniti, organisasi dan negara.

“Di peringkat agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya, saya mahu Manhaj Rabbani terus dilaksanakan dan disesuaikan dengan visi, misi dan objektif agensi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat secara maya sempena Perhimpunan Agensi-agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertajuk Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam di Era Norma Baharu, hari ini.

Menurutnya, ia adalah sebaik-baik dasar yang perlu dikembalikan kepada ummah dan seluruh rakyat.

Malahan katanya, dalam keadaan dunia berhadapan dengan krisis pandemik Covid-19 serta isu yang semakin menghimpit meliputi soal agama, ekonomi dan sosial, maka negara memerlukan suatu panduan dan hala tuju yang jelas bagi menghadapi semua ini.

“Tak lain dan tak bukan, kita berusaha untuk kembali kepada Manhaj Rabbani yang menuntut seseorang individu untuk berpegang dengan prinsip ‘ubudiyyahnya kepada Tuhan dalam kehidupannya. Baik di rumah atau pejabat, individu atau organisasi, dewasa atau kanak-kanak, tua atau muda, Manhaj Rabbani adalah jawapannya,” jelasnya.

Jelas Zulkifli, dasar ini selari dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam sebagaimana yang termaktub dalam Perkara 3 Fasa 1 Perlembagaan Persekutuan.

“Saya ingin melihat Dasar Manhaj Rabbani dilaksanakan terlebih dahulu oleh
agensi-agensi di bawah tanggungjawab saya.

“Teras kepada dasar ini adalah Maqasid Syariah, yang saya namakan juga sebagai Maqasid Insaniyyah Rabbaniyyah. Dengan kata lain, Maqasid Syariah itu adalah objektif untuk menjadi insan rabbani, organisasi rabbani bahkan negara rabbani,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/1/2021

- Advertisement -