Darurat: Santuni rakyat berbanding kerenah ahli politik

- Advertisement -

KANGAR: Proklamasi darurat yang dikuatkuasakan bermula 12 Januari lalu hingga 1 Ogos hadapan dianggap langkah proaktif kerajaan bagi membendung wabak Covid-19 di Malaysia.

Pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Saifizi Saidon berkata keputusan kerajaan itu tepat pada masanya ditambah pula kemelut politik yang tidak berpenghujung.

Katanya, ketika rakyat berdepan wabak masih ada pemimpin politik mahu mencapai impiannya sehingga menimbul keresahan dalam kalangan rakyat.

- Advertisement -

“Keutamaan menyantuni rakyat lebihutama berbanding melayani sikap sesetengah ahli politik yang berkepentingan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Kerajaan mengisytiharkan proklamasi darurat selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 150 (2B) Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah Ordinan Darurat tidak perlu kelulusan parlimen kerana Dewan Rakyat tidak perlu bersidang dalam tempoh darurat dikuatkuasa kecuali dipanggil baginda.

Bagaimanapun usaha kerajaan menangani secara serius pandemik Covid-19 berdepan agenda politik Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang berusaha menolak pengisytiharan darurat oleh kerajaan.

Malah terbaru Presiden PKR itu mendakwa ahli parlimen yang bersetuju menolak pelaksanaan proklamasi darurat seramai 114 orang.

Tahun lepas pemimpin sama mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen bagi membentuk kerajaan, namun gagal mengemukakan sebarang nama ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong.

Dr Saifizi yakin apabila punca kuasa darurat berada di bawah Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat jemaah Kabinet serta jawatankuasa khas yang bakal dibentuk mampu menjamin kestabilan negara. – HARAKAHDAILY 25/1/2021

- Advertisement -