Berapakah harga nikmat kesihatan?

RAMAI di kalangan kita dilahirkan dalam keadaan yang sihat. Kita membesar secara normal, menikmati keupayaan untuk bernafas tanpa gangguan, mampu bertatih menguatkan otot dan tulang serta berkuasa menggunakan otak yang cerdas untuk menerokai dunia yang luas. 

Namun nikmat yang besar ini adakalanya dipandang remeh. Manusia kadang kala lupa untuk mensyukuri anugerah Allah dan leka dari memelihara nikmat ini sebaiknya. Sedar atau tidak, kesihatan yang baik sudah menjadi komoditi yang sangat mahal di dalam dunia hari ini. 

Pada tahun 2019, Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) telah meluluskan rawatan menggunakan onasemnogene abeparvovec-xioi (Zolgensma) yang dihasilkan oleh syarikat Novartis. Rawatan ini bagi merawat pesakit kanak-kanak berusia kurang dari dua tahun yang mengidap penyakit genetik, spinal muscular atrophy. Pesakit mengalami masalah saraf dan kawalan otot yang semakin memburuk dari masa ke semasa. Rawatan terapi gen ini berharga US Dollar 2.1 juta untuk satu dos menjadikan ia rawatan termahal di dunia setakat ini. 

Advertisement

Bagi pesakit kanser darah (B-cell acute lymphoblastic leukaemia dan diffuse large B-cell lymphoma) antara rawatan termahal adalah menggunakan Kymriah yang berharga US Dollar 500 ribu. Rawatan yang turut dihasilkan oleh Novartis ini, mengguna pakai sel darah putih yang telah diubahsuai secara genetik bagi merawat pesakit yang berusia 25 tahun dan ke bawah. 

Acthar gel yang dihasilkan oleh Mallinckrodt Pharmaceutical digunakan bagi merawat beberapa jenis penyakit termasuk kekejangan dan sawan di kalangan kanak-kanak, penyakit multiple sclerosis di kalangan orang dewasa dan alahan akut dan kronik. Rawatan ini berharga US Dollar 41 ribu untuk 5 mililiter. Rawatan dalam tempoh yang singkat sahaja mampu mencecah ratusan ribu US Dollar. 

Terdapat ura-ura, terapi gen bagi merawat penyakit Homophilia yang dihasilkan oleh Biomarin Pharmaceutical akan diluluskan oleh FDA. Rawatan ini bakal menjadi rawatan termahal mengalahkan Zolgensma. Harga yang disebut-sebut setakat ini ialah US Dollar 3 juta untuk seorang pesakit. 

Ini sekadar beberapa contoh rawatan yang harganya tidak terlintas di minda kita. Berdasarkan harga yang ditawarkan oleh syarikat farmasi yang menghasilkannya, ternyata rawatan ini terhad hanya kepada mereka yang mampu membayar nilai rawatan tersebut sama ada secara persendirian atau melalui insuran kesihatan. 

Bersamalah kita menginsafi nikmat kesihatan yang dianugerahkan Allah kepada kita. Nilainya jauh lebih tinggi dari segala kekayaan dunia yang mampu kita kumpulkan. 

Tidak dinafikan ada penyakit berlaku di luar kawalan, tetapi terdapat juga penyakit terhasil dari kegagalan kita mengamalkan gaya hidup yang sihat dan corak pemakanan yang betul. Semoga Allah memberi kesembuhan kepada mereka yang sakit dan menambah pengetahuan dan usaha kepada kita untuk terus mengekalkan nikmat kesihatan yang telah dianugerahkanNya, tanda syukur kita sebagai seorang hamba. 

DR. HANI’AH ABDULLAH 
Anti-infective virologist
Alderley Park.

Rujukan utama;
Food and Drug Administration (FDA)
European Medicines Agency (EMA) – HARAKAHDAILY 25/1/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.